Tuesday, September 29, 2009

Demi Masa

No comments:
Assalamualaikum wbt.

Demi masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

(Al-Asr, 103 : 1-3)



Semoga bermanfaat untuk kita semua; muhasabah untuk saya terutamanya kerana telinga saya yang paling hampir dengan mulut saya yang berkata-kata.

Fazakkir. Fainna az-zikraa tanfa'ul mukminiin.

^___^

Wednesday, September 16, 2009

Umar [Akhir]

No comments:
Sudah masuk bulan Ogos. Perjuangan Umar dan Azrul sudah hampir ke penamatnya. Hanya tinggal beberapa hari sebelum hari bergraduasi. Hati kedua-duanya mula sayu apabila bakal meninggalkan rumah yang didiami bersama sejak dari tahun dua.

Setiap pertemuan, pasti ada perpisahannya dan begitulah sebaliknya. Hukum alam sudah dimetrai begitu. Begitulah keadaanya yang berlaku hari ini. Perancangan manusia belum mampu melawan takdir tuhan.

Satu persatu barangan dimasukkan ke dalam beg. Ada didalam plastik, kotak dan ada dibiarkan begitu. Rumah bujang, tidak ada apa yang mahu dirisaukan sangat. Beberapa barang Umar dan Azrul mengambil keputusan untuk wakafkan. Sesetengah barang, atas dasar ehsan tuan rumah maka di situlah ia dari mula hingga ke akhir.

"Umar, kau betul tak nak aku hantar kau ni. Barang penuh van ni, at least aku boleh tolong kemaskan dekat rumah sewa baru kau nanti,"
"Tak apa. Bukan banyak pun. Cuma jauh je. Kalau dekat dah lama aku ulang alik pinjam kereta Adam,"
"Tak ada alamat ke kau kat sana? Bolehlah aku melawat nanti,"

Suara Azrul jelas berbunyi sayu. Umar memandang tepat pada Azrul. Dia juga yakin hatinya begitu. Timbul rasa bersalah. Namun demi masa depan, biarlah.

"Tak dapat full alamat lagi. Nanti kalau dah dapat, aku bagitahu. Janganlah sedih-sedih. Bukannya aku nak pergi oversea,"

Umar mengekek. Azrul senyum dalam paksa.

---

Umar memerhati jauh ke tengah jalan. Meski tingkap rumah kecil dan hanya berhadapan dengan jalan-jalan batu, Umar mampu menembus pandangan jauh ke ufuk timur. Satu tarikan nafas panjang.

Bagaimana Hannah? Apa khabar dia?

Sepanjang setahun ini, Hannah dapat merasakan gadis itu melarikan diri dari dia. Biarlah. Itu yang sebaiknya dari perkara yang tidak sepatutnya. Umar mengerti dia juga manusia. Umar bahkan yakin, setegar hati lelakinya, ada lemah di situ. Namun biarlah. Biarlah.

Ada sekali Aliya pernah datang berjumpanya. Seorang gadis tidak dikenali menyapa dari belakang ketika Umar keseorangan di kafe. Tanpa segan gadis itu duduk bertentangan dengan Umar dan tanpa sedar juga tidakan refleks Umar terbangun. Hampir dia pucat, hampir juga gadis itu terkejut.

Umar tidak biasa bertentangan begitu dengan bukan muhrimnya.
Aliya pula ralat dengan lelaki yang terlalu menjaga adab.

"Maaf.. maaf. Saya tak tahu awak tak biasa,"
"Tak apa-tak apa. Cik ada apa-apa ke nak jumpa saya? Maaf cakap, saya tak kenal,"
"Memang tak kenal pun. Saya Aliya,"

Umar memandang cuma sesekali dia menunduk. Wajah cerahnya mula merah padam.

"Kawan saya Hannah. Kawan baik saya, dia ada cerita pada saya semuanya. Tentang perasaan dia, tentang rejection awak. Dia dah berubah. Mulanya saya benci. Saya hilang Hannah yang dulu sebab awak. Tapi saya fikir kemudian, ini jalan Hannah pilih. Ini jalan yang baik untuk dia lalui. Sebagai kawan, bukan hak saya membenci. Jika dia mahu berubah baik, saya tidak boleh melarang, Cuma Umar...."

Ayatnya terhenti di situ. Umar memandang penuh tanya.

"Dia berubah bukan kerana awak. Bukan. Umar, awak.."
"Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik,"

Aliya mula merengus marah. Pada dia perlukah manusia dibezakan darjatnya hanya kerana kisah silam?

"Adil ke awak mengata orang lain buruk dan seolah awak malaikat? Umar, buruk hati awak tahu tak Umar?? Dalam Islam pun tak menghina seseorang yang buruk lakunya dulu tahu tak???! Dalam Islam..."
"Saya ada kelas. Maaf. Assalamualaikum,"

Umar berlalu pergi dalam sopan. Meski banyak mata memandang tertarik dengan tingginya suara manusia bernama Aliya itu, Umar masih berjalan tenang. Tiada tanda amarah. Langsung tiada.

"Ya Allah, ketemukan Hannah seseorang untuk membantunya," Umat berbisik perlahan.

Hampir setahun Umar hanya mendiamkan diri. Hampir setahun Umar menafikan perasaannya.

---

Setelah menerima emel Umar lapan bulan, Hannah sangat marah. Dalam amarah dia dipertemukan dengan Hanani. Dalam masa lapan bulan itulah Hannah belajar tentang segala-gala yang dia tak tahu.

Dia belajar tentang dia dan Penciptanya. Dia belajar tentang dia dan solatnya, puasanya, dirinya, amalnya, taqwanya. Dia belajar tentang halam haramnya. Dia belajar tentang banyak perkara termasuk hatinya.

Kini Hannah sedar, Umar tidak salah. Yang salah dia. Disisi wanita itu malu. Namun satu Hannah terkilan. Perlukah dia dibandingkan tentang buruk baiknya dengan lelaki itu. Ah, manusia. Hannah memujuk hati.

"Ya Allah, kurniakan aku hanya lelaki yang terbaik untukku, untuk agamaku, untuk dunia dan akhiratku,"

Linangan air mata aduan memohon ampunan dosa saban pagi.

---

"Mana Umar ni?"

Suasana pagi itu belum lagi bermula ceria. Dewan Tunku Canselor dipenuhi dengan manusia. Dari Tasik UM hingga ke hujung kolej Zaaba. Setiap satunya ralit bergurau-senda, membetulkan jubah menara gading itu, bertepuk tampar ceria kerana sudah tidak bertemu lama.

Namun hati Azrul terusan dihambat runsing. Menyesal pula dia tidak menegah Umar supaya tidak pulang dan terus bermalam bersamanya setelah selesai sesi 'rehearsal' semalam. Kini Umar tidak memunculkan diri. Tersesak dalam trafikkah? Terlajak tidurkah? Kemalangankah? Hati Azrul jadi ngeri.

Saat manis ini tidak akan terasa indahnya tanpa dia dan Umar melalui fasa penamat ijazah diatas pentas megah bersama-sama. Setengah jam lagi Mereka akan dipanggil masuk dan sampai sudah Umar tidak memunculkan diri. Wakil terpaksa di hantar bagi menggantikan tempat Umar. Azrul dihantui runsing dari mula hingga ke akhirnya. Umar belum pernah begini.

"Azrul, tahniah,"

Suara kecil menyapa Azrul dari belakang. Hannah?

"Terima kasih," Azrul senyum dalam kerutan.
"Umar ada? Jangan salah sangka. Saya cuma datang nak ucapkan terima kasih sebelum saya tidak dapat berjumpa dengan dia lagi mungkin untuk selamanya selepas ni,"
"Tak. Tak ada masalah itu. Saya pun tak tahu dia ke mana. Itu masalahnya,"

Hannah terkejut.

"Tak datang?"
"Abang Azrul!!!"

Serentak Azrul dan Hannah berpaling pada junior yang berlari merapati mereka.

"Abang Umar suruh bagi ini hari ini pada Kakak Hannah. Dia dah bagi saya dua minggu lepas lagi. Hari-hari dia pesan. Siapa akak Hannah ni bang? Dia kata kalau saya tak kenal dia suruh bagi pada abang,"

Hannah tambah terkejut kerana nama dia disebut. Azrul juga terkejut kerana mengapa Hannah? Bukan dia.

Assalamualaikum WBT,
Dengan izin Allah, alhamdulillah surat ini sampai ke tangan awak.

Hannah,
Saya tidak kisah jika awak membenci setinggi gunung pada saya. Saya layak. Cuma surat ini saya sampaikan hanya untuk membetulkan keadaan. Saya tidak mahu Hannah terus berfikir saya malaikat. Tiada beza antara manusia. Yang membezakan kita, amalan di sisi DIA.

Hannah,
Sejujurnya saya tidak pernah berbual dengan seorang perempuan lebih dari perbualan diskusi pelajaran. Dunia saya hanya bersama Azrul, dan beberapa kawan yang lain serta beberapa persatuan-persatuan yang mencegah pergaulan bebas. Jika Hannah mahu difinisikan sebagai persatuan ekstrim beragama pun tidak apa. Saya tidak ambil hati kerana bukan Hannah seorang yang berfikiran begitu.

Hannah,
Saya sangat bencikan pergaulan bebas. Jadi secara tidak langsung saya harus bertindak. Saya tidak mahu iman saya iman yang lemah yang hanya menegur di dalam hati. Saya hanya manusia biasa. Namun biasa itu bukan tiket untuk saya berdiam diri. Sehingga satu hari saya cedera kerana bola Hannah, saya betul-betul ada komunikasi dengan wanita yang sosial di dalam kampus sendiri. Sebelum ini bukan tiada, cuma kisah saya dan Hannah panjang dan hampir tiada kesudahan.

Hannah,
Kemudian saya terserempak lagi dengan Hannah dan kawan Hannah yang kemabukan. Saya tidak tahu ujian apa yang DIA mahu sampaikan. Saya tumpangkan Aiman di rumah. Saya mengambil risiko bahkan saya berfikiran yang bukan-bukan. Aiman menegur saya baik dan dia bahkan meminta maaf. Saya hampir terduduk memikirkan betapa zalim hati saya mengadili seseorang.

Hannah,
Saya fikir sampai situ sahaja. Namun terserempakkan Hannah di masjid, melihat Hannah bertudung, membaca pengakuan hati dan perasaaan Hannah. Ralat saya bertambah. Betul saya bertanya pada DIA saban malam ujian apa yang Allah mahu saya lalui. Saya rasa Hannah mengerti antara ujian terhebat seorang lelaki, adalah wanita. Saya tidak mahu saya jadi begitu.

Hannah,
Maaf saya berterus terang. Saya tahu Hannah melarikan diri. Saya juga tahu setiap ayat saya terlalu kasar pada Hannah dan juga pada kawan Hannah, Aliya. Tapi saya fikir, itulah yang sebaiknya. Pun begitu Hannah, saya lelaki. Saya juga punya perasaan namun saya tidak mahu itu senjata yang memancung saya semula. Saya bencikan pergaulan ini. Saya BENCI.

Hannah menarik nafas panjang. Azrul hanya memerhati penuh debar ketika Hannah khusyuk mebaca. Hatinya penuh tanya.

Hannah,
Satu hari saya sedar tentang perasaan saya. Dan bila saya sedar, saya tahu saya harus melarikan diri. Mencari tenang di mana saya tidak dihantui sesiapa. Hari ini, biarlah saya membuka segalanya.

Hannah,
Saya tidak tahu asal saya. Saya tidak pernah tahu siapa ibu ayah saya. Saya tidak tahu secara jelas diri saya sendiri. Yang saya tahu, saya dilahirkan dalam rahim wanita yang tidak halal hubungannya. Saya juga tidak pernah bertemu dia.

Hannah,
Saya adalah pesakit HIV positif kerana hubungan ini. Dan kerana itu saya membenci dan mencuba sedaya upaya saya menghalang pergaulan bebas supaya tidak ramai Umar seperti saya lahir kedunia.

Hannah,
Saya mohon maaf atas perasaan ini yang sepatutnya tidak hadir. Saya minta maaf jika mengguriskan hati saudara saya. Bukan Hannah tidak baik, saya yang terlalu hina untuk Hannah. Hannah masih boleh berubah dengan darah suci terus mengalur dalam diri.

Hannah mula menangis. Menangis yang meruntun hati Azrul. Hannah menyambung bacaannya.

Dan jika Hannah selesai baca ini dan rasa Azrul perlu tahu, berikan surat ini padanya. Saya tidak sanggup memberitahu sendiri sahabat dunia akhirat saya. Saya berasa berdosa pada dia. Jika Hannah berikan pada dia, ada kata-kata terakhir dari saya. Jika Hannah tidak rela, saya izinkan Hannah membuat apa sahaja cerita sebagai alasan ketidakhadiran saya

Hannah mengunjukkan surat pada Azrul. Dia sebahagian dari hidup Umar. Dia layak tahu. Tatkala surat baris pertama Azrul baca hingga ke bahagian dia, air mata Arul juga menitis.

Azrul,
Aku tiada kata mahu dicoretkan. Banyak sungguh dosa aku pada kau. Dosa merahsiakan lebih besar.

Kaulah sahabat dunia akhirat aku. Aku mohon maaf tidak hadir. AKu mahu pergi dari kenangan yang menyeksakan. Semua orang tahu tempoh pesakit HIV berapa lama dan bagaimana rupanya.

Azrul,
Satu hari nanti aku harap bertemu kau. Di syurga jika aku masih berpeluang ke sana. Mohon Allah izinkan kita semua ke sana. Dan Hannah dihadapanmu itu, jika tidak keberatan, biarlah dia menjadi sebahagian dari tulang rusukmu.

Titisan air mata Azrul sudah keakhirnya. Hannah masih menunduk.

Azrul mengerti kini kenapa Umar tidak mahu diganggu jika kesakitan.
Hannah memahami kini apa maksud Umar dengan,

"Lelaki yang baik untuk wanita yang baik,"

Terima kasih Umar kerana memberitahu yang benar, Hannah berbisik perlahan. Hannah manusia biasa. Punya takut dan gentar. Sekurang-kurangnya Umar tidak tinggalkan dia dengan tekanan dan tidak biarkan dia terbeban dengan perasaan.

-Tamat-

Monday, September 14, 2009

Islam

No comments:
Nukilan saudara Faisal Ramly.
Assalamu’alaikum warahmatulLah,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Tingkatkanlah kesyukuran ke hadrat Illahi dengan setinggi-tingginya sedaya yang kita mampu.Tanda syukur bukan hanya dengan ucapan alhamdulilLah sahaja, bahkan zikir tersebut hanya membawa maksud pujian kepada Allah semata, segala puji hanya bagi Allah. Tanda syukur sepatutnya dimanifestasikan sebagai mengikut segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan Allah mengikut petunjuk al-Qur’an dan as-sunnah. Selawat dan salam kepada junjungan besar Muhammad SAW dan para sahabat, serta tabi’in dan juga golongan yang mengikuti beliau hingga hari qiamat.

Bila bincang bab Islam, umum ketahui serta wajib fahami sebagaimana Islam yang dibawa oleh rasuluLlah dan para sahabat. Islam yang syumul dan melengkapi dari semua sudut. Tidak ada benda dalam dunia ni yang tidak Islam. Bila bincang bab harta, kena ikut Islam. Bila bincang bab jenayah, kena ikut Islam. Bila bincang bab kahwin, juga kena ikut Islam. Ini semua tanda bahawa kita ingat akan Allah.

Zikir ini ada dua, pertama yang selalu kita amalkan setiap hari melalui lisan. Ada yang amal zikir ma’thurat, ada yang amal wirid al-latif. Itu zikir melalui lisan yang kita fahami. Yang lainnya adalah melaui perbuatan kita. Satu analogi, kalau kita tengah bercinta katakan. Orang melayu mahir bab ni, bila mandi tak basah, makan pun tak kenyang, tidur lagi la tak lena. Itu semua tanda bahawa kita ingat sentiasa pada kekasih kita. Sama juga pada bab zikir pada Allah pada menyatakannya melalui perbuatan. Kita berjual beli, jangan ambil riba’. Kita bermesyuarat sentiasa jaga pergaulan antara jantina. Kita bercakap jangan menyakiti hati orang. Itu semua sebenarnya tanda bahawa kita ingat akan Allah. Jangan rigid kan pemahaman kita tentang zikir mesti dalam surau sahaja. Kerana itu kita katakan “ Islam is the way of Life ”. Meaning our life was fully applied towards the Islamic way.

Tak boleh kita katakan Islam terasing dari sesuatu perkara. Sebentar tadi kita fahami bahawa hidup kita hanya untuk beramal dengan cara Islam. Macammana pula sekarang kita kata ada urusan yang tak berkaitan dengan hidup kita? Bila bincang bab kehidupan saja, mesti dengan ISLAM. Bila konsep ini kita fahami dengan sebenar-benarnya, baru kita kenal dengan salah satu ciri Islam itu yang dinamakan syumuliah atau menyeluruh.

Syumuliah, bermakna merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah aktiviti kita dari pagi lagi, bangun tidur, mandi, pakai baju, pergi kuliah, pergi makmal, berbual dengan rakan, makan, pergi tandas, bermesyuarat, semuanya diajar dalam Islam. Bahkan sehingga ke perkara mentadbir dunia pun diajar dalam Islam. Dengan itu, fahamlah kita bahawa melalui aspek sosial, ekonomi, politik juga ada dalam Islam. Jangan PISAH antara mereka. Jangan kata Islam lain, ekonomi lain. Bila buat macam tu, maknanya kita dah tak faham maksud syumuliah yang dibincangkan tadi.

“Fahami Konsep, Kemudian Amal”

waLlahu a’lam.

Sunday, September 13, 2009

Umar [8]

No comments:
Seminggu terakhir Ramdhan. Seharusnya menjadi seminggu penuh barkah yang melimpah ruahkan masjid dengan kehadiran manusia. Namun, lain jadinya. Tidak mengapalah. Iman dan taqwa manusia berbeza-beza.

---

Hannah mula rasakan sesuatu yang merubah dalam hidupnya. Ya, mungkin sebab Umar. Mungkin tidak. Tapi jawapan mungkin juga Umar adalah tinggi sebagai penyebab dia menerima nur secepat ini.

Setiap hari, Hannah dapat rasa satu kelainan. Kelainan sifat. Kelainan hati. Kelainan budi. Kelainan hampir segalanya.

Kelainan itu mula menjadi gila apabila dia merasa dia menunggu untuk melihat Umar. Meski emel tidak berbalas, Hannah tetap menanti setiap hari. Fikir Hannah, Umar bukan seorang yang tegar membuka emel. Barangkali. Dan kerana fikirinnya itu, Hannah menunggu saban hari.

Hannah merasakan sesuatu. Sesuatu luar dari biasa. Sesuatu luar dari norma dia.

Hari ini 27 Ramadhan. Hari ini, hari terakhir kampus beroperasi sebelum cuti raya. Hari ini, fakulti Farmasi gempar dengan seorang pelajar tahun 3 yang terkenal dengan julukan gadis bertocang, Hannah.

Hannah ke kolej dengan peribadi muslimah. Hannah mengejutkan semua rakan-rakannya terutama Aliya. Hannah bahkan mengejutkan hampir keseluruhan pensyarah yang mengajar dia. Hannah seorang yang lain hari ini.

Ya, Hannah mula bertudung.

"Kau pakai tudung sebab kau nak pakai ke sebab lelaki tu, Han?"

Pertanyaan Alia, Hannah balas dengan senyum. Dalam senyuman itu, Hannah cuba menjawab pada diri tentang keikhlasan hati. Sebab Umar atau sebab kesedaran?

"Insyallah sebab aku rasa nak pakai. Sebab Umar pun iya juga,"
"Han, kau jatuh hati dengan dia ke sampai kau bertukar rupa macam ni sekali?"
"Mungkin,"
"Mungkin? Jadi kau bertudung ni nak tarik perhatian dia? Kau sedar tak salah?"

Hannah diam sekejap.

"Nak buat baik kena ada booster, Lia. Booster aku, Umar,"

Aliya geleng kepala. Hannah terus tersenyum. Dari kejauhan dan dalam keramaian manusia yang memandang kepelikan tentang penampilah Hannah hari ini, ada satu mata memandang dengan syukur. Umar.

---


Hannah dikurniakan Allah dengan keberanian. Punya keyakinan tinggi. Penuh daya untuk mempertahankan apa yang dia rasakan benar dan dia mahu semua orang mengetahui itu juga. Hannah tidak malu untuk silap, bahkan Hannah kecewa jika dia tidak dapat memberitahu apa yang difikirkan dan dirasakannya.

Hannah ke perpustakaan. Tempat terakhir barangkali dia akan jejak sebelum terbang pulang ke Sarawak negeri kelahirannya. Sebelum pulang menyambut aidilfitri dengan penampilan baru dan azam yang terlahir suci.

Hannah menghantar emel sekali lagi kepada Umar. Kali ini dengan nada berbeza. Kali ini dengan penuh rasa ingin tahu berkenaan agamanya. Kali ini dengan sesuatu yang lain. Dia bercerita tentang perasaannya.

---

Assalamualaikum,
Kehadapan Hannah,

Disisi wanita itu malu. Jangan berubah kerana saya. Berubahlah kerana tuhan yang menciptakan kamu. Carilah manusia dari golongan kamu sejantina denganmu yang tahu untuk bertanyakan tentang Islam. Percayalah, antara Hannah dan saya, Syaitan penemannya.

Sesungguhnya, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan begitulah sebaliknya.

Saya harus mati jika mempunyai perasaan yang sama seperti yang kamu rasa.

Yang benar,
Umar.

Mata Hannah terpaku pada ayat-ayat balasan manusia Umar yang pendek tetapi menyakitkan. Emel yang dijawab sejurus selepas setengah jam Hannah menghantar.

Amarah Hannah memuncak. Jika tidak suka, tidak perlu mengutuk dia hina.
Jika tidak suka, tidak perlu memberi jawapan seolah dia syaitan dan Umar malaikat.

Hannah mula mengeji manusia alim seperti ini. Namun jauh dalam sudut hati Hannah, Umar berbicara benar Tidak mengapa, jika hina yang Umar bicarakan tentang dia. Satu hari nanti, Hannah bukan lagi Hannah yang semua orang kenal.

---

Umar menarik nafas lega setelah persaolan dan perasaan gadis itu dia jawab. Umar bahkan berasa beban perasaan yang bakal ditanggung manusia itu berdikit kurang dengan kata-katanya sebentar tadi.

Namun Umar manusia. Dia terasa bahagia. Namun begitu, dia harus mati untuk itu.

Bersambung.
Khamis ini episod terakhir. :)

Friday, September 11, 2009

PERHATIAN : HADIAH KUIZ ONLINE RAMADHAN

No comments:
Assalamu'alaikum wbt

Tahniah diucapkan kepada yang berjaya untuk Kuiz Ramadhan Online. Untuk yang kurang bernasib baik, mungkin boleh cuba lagi pada masa akan datang.

Bagi muslimat yang masih belum mengambil hadiah, sila hubungi Syafiqah bt Mohd Satali(Perubatan 2) -DM4 138- untuk mengambil hadiah . Berikut adalah nama muslimat yang masih belum menuntut hadiah:

  1. Nadzirah Salha bt Ab Khalid-KPP 2-102664
  2. Rabiatul Adauwiyah Bt Mohd Pauzi- Dietetik 3-97569
  3. Fatihah bt Hamzah-Medic 3- 95671
  4. Aiman Mardhiyyah Mohd Yazid - Medic 4-90689

Mohon maaf atas segala kesulitan. Wallahu'alam

Mati

No comments:
Nukilan saudara Faisal Ramly.

Assalamu’alaikum warahmatuLlah…
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Allahu rabbuna, tingkatkan kesyukran kepada Allah atas kurniaan nikmat dan rahmat-Nya, masih lagi bernafas dengan jasad sebagai seorang Muslim yang sedar dan mampu untuk berjuang demi agama-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Muhammad SAW atas jasanya, kita masih lagi mewarisi keharmonian hidup dalam suasana Islam, kepada para sahabat dan juga tabi’in beserta golongan yang mengikuti beliau hingga hari qiamat.

Walaupun berada dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, ana masih lagi suka untuk mengingatkan diri beserta umum berkaitan kematian yang pasti.
Firman Allah:

“Maka apakah kita tidak akan mati?”
(as-Saffat : 58)

Inilah bentuk persoalan yang digazetkan di dalam al-Qur’an bertujuan untuk menarik perhatian kita terhadap kematian. Ayat ini juga sepatutnya berupaya mencetus pemikiran kita terhadap kematian, sesuatu yang pasti berlaku sama ada kita suka atau duka. Jawapannya sudahpun kita ketahui, bahkan Allah berfirman:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada kami kamu dikembalikan.”
(al-ankabut : 57)


Kematian itu akan terjadi walaupun kita masih lagi berada dalam bulan Ramadhan, walaupun kita masih belum bersedia, walaupun kita tak boleh terima akan kehadirannya, seolah-olah merupakan satu bentuk paksaan untuk kita supaya sentiasa bersedia mengahadapinya.

Benar kata imam al-Ghazali kepada anak muridnya. “Apakah benda yang paling dekat dengan kita?”, soalnya. Mereka menjawab “kawan-kawan, ibu bapa”. Biasalah, pandangan murid selalunya singkat, tidak mengambil kira aspek ghaib. Tapi al-Ghazali tidak marah, bahkan menggalakkan. “Semuanya betul, tapi yang paling betul adalah mati”
Sangat bersetuju! Siapa tahu bila kita akan mati? Minggu depan? Lusa? Esok? Sejam lagi? Sekejap lagi?

Kita boleh pilih jalan kita. Hidup ini sentiasa merupakan pilihan. Cumanya, pilihan itu hanya ada dua, syurga atau neraka. Kalau tak nak ikut perangai ahli neraka, kita masuk syurga. Kalau kita benci bahkan hina sifat dan perbuatan ahli syurga, rumahnya di neraka.

Pesan ana, kita sediakan bekal kita sebelum pergi. Pepatah melayu ada menyebut, “sediakan payung sebelum hujan”. Masalah umat hari ini payung pun mereka tak kenal. Kerana itu turun Islam untuk beritahu, bagi kenal kepada ‘payung’ tersebut melalui majlis-majlis ilmu dan juga pergaulan dengan ulama’. Dengan itu, kita mampu mencuri perhatian Allah tandanya kita perlukan hidayah Allah serta taufik-Nya dalam menyelusuri kehidupan ini. Wallahu a’lam.

Thursday, September 10, 2009

Umar [7]

No comments:

Hari ini, 20 Ramadhan, majlis berbuka puasa besar-besaran di fakulti Akademi Pengajian Islam. Masjid yang serba putih terletak nun jauh di atas bukit, bercahaya cemerlang malam ini. Masjid yang terletak jauh dari keramaian umum menghadiahkan solat yang lebih khusyuk dan tenang bagi sesetangan pihak.

Alhamdulillah. Sambutan Ramadhan kali ini berbeza dari selalunya. Berbeza secara umum kerana keramaiannya. Dan berlainan dari biasa kerana ada satu tetamu mula menjejak kaki ke kawasan yang dia sendiri aturkan sebagai larangan untuk di langkah.

"Eleh, diorang tu bukan bagus sangat pun. Pakai tudung je lebih, mengumpat sama je,"

"Konon pakai kopiah, bercinta bagai nak rak ke hulur ke hilir macam kita juga. Diorang lagi teruk. Konon bercinta atas nama Islam,"

"Kalau dah tutup aurat tu mula nak rasa diri bagus. Semua orang pun salah. Kerja nak cari salah orang je. Apa? Ingat pakai tudung labuh tu dah jadi malaikatlah?"

"Aku tak paham orang-orang baik ni. Tak reti nak nasihat sampai ke hati. Kalau nasihat macam nak suruh esok tu jadi geng diorang. Ingat hati ni macam komputer ke boleh reset, restart main-main je?"

"Kalau bergaduh, masam muka mengumpat berbaldi-baldi juga,"

"At least aku tak pakai tudung je. Benda baik aku buat juga. Masalahnya, kalau aku buat baik, tengok aku macam alien,"

Itu dialog Hannah. Itu dialog biasa untuk Hannah mempertahankan diri. Itu juga dialong biasa dari pemikiran seorang manusia yang sangat meluat dengan orang-orang yang bukan 'seperti dia'. Itu Hannah. Hannah yang punya banyak penilaian tersendiri.

Hari ini.

Hari pertama Hannah melangkah masuk tenpat yang dia arah tidak pada dirinya. Dia tersenyum. Senyuman yang lebih kepada di buat-buat. Kali pertama Hannah merasa makanan berbuka tersangat pahit. Kali pertama Hannah sering berfikir untuk pulang dan terus pulang. Kali pertama Hannah berasa keseorangan pada tempat yang dia rasa sangat asing baginya biarpun masih dalam Universiti yang sama.

"Eh, tengok buat apa? Makanlah. Lepas ni nak tarawikh pula,"

Sapaan dari seorang gadis bertudung litup menyedarkan Hannah dari lamunannya. Senyum yang jelas dari hati terpancar ceria. Hannah hanya tergamam dan hanya senyap. Apa lagi yang dia boleh bicara? Dia tidak biasa.

"Nak saya ambilkan?"
"Aaa.. ermm.. boleh,"
"Sorang ke datang?"
"Emm,"

Sambil tersenyum, gadis itu menyendukkan nasi untuk Hannah. Dia masih kaku sekakunya. Dalam hati Hannah sudah berkira-kira pastinya soalan yang akan timbul, adakah ini kali pertama dia ke mari? Dengan selendang hanya diletakkan di atas kepala, semua memandang sedikit pelik.

Ah! Manusia. Sebarang ketidaksamaan akan menjadi perkara yang besar untuk dinilaikan.

"Kalau seorang diri, jomlah makan sekali. Akak, Nani. Panggil Kak Nani tak apa,"
"Hannah,"
"Sedap nama tu,"

Hannah hanya tunduk dan dalam tunduk itu tiada langsung pertanyaan yang terbit seperti sangkaan awalnya. Dalam tunduk itu Hannah sedar, bukan semua yang baik itu mulia, dan tak semua yang jahat itu hina. Bukan semua yang dalam fikirannya berhipokrasi itu tidak jujur, dan bukan yang seolah menonjolkan untuk menjadi diri sendiri dengan menolak semua hukum insan ini, lebih baik.

Selagi namanya manusia selagi itulah tidak sunyi dari dosa. Bezanya? Bagaimana untuk kembali kearah jalan sepatutnya.

---

Azan Isyak berkumandang jelas. Lebih jelas seakan menampar-nampar gegendang telinga Hannah. Terlalu jelas sehingga Hannah rasakan inilah azan pertama yang hadir dan benar-benar melekat jauh ke dalam hatinya.

---

"Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya berbunyi, sesiapa benci dan enggan menurut sunnahku, antaranya berkahwin, maka dia bukan dari kalanganku,”

Semua diam. Ada dalam kalangan muslimin mengangkat muka memandang penuh persoalan pada yang sedang memulakan ceramah. Barangkali tidak bersetuju dengan tajuk begitu untuk Ramadhan. Barangkali juga tidak.

"Zaman sekarang, pergaulan sudah tersangat bebas sampai tiada penghujungnya. Alhamdulillah, bersempena bulan Ramadhan dan kerana bulan ramadhanlah ramai manusia akan berkunjung ke rumah Allah ini, ana mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama kita saling mengingati dan menegur agar Insyallah, kita semua dalam tarbiah DIA,"

Tarikan nafas sepanjangnya dilepaskan. Permulaan kepada nasihat-nasihat seterusnya.

"Pelbagai kefahaman dari bermacam-macam cara sedang dilakukan untuk memberitahu bahawa pergaulan berlainan jantina adalah tidak salah. Benar. Tidak salah, yang salah cuma caranya. Pergeseran kefahaman seperti dosa masing-masing tanggung, kubur masing-masing jaga, membuatkan masalah ini semakin teruk dan bertambah teruk apabila dosa dan zina sesuatu yang mula dipandang remeh. Sebagaimana Allah berfirman, …dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu perbuatan yang sangat keji dan satu jalan yang sangat buruk, menjelaskan ada sesuatu dan ada kena mengena dengan pergaulan berlainan jantina ini,"

Suasana masih diam bersetuju. Ada beberapa jemaah mengangguk-angguk beberapa kali.

"Pergaulan bebas, berdua-duaan, berpimpin tangan, rapat-merapati dan berhimpit di atas motosikal adalah faktor permulaan yang kuat mendorong ke arah penyimpangan tarikan seksualiti. Sebagai satu agama yang hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi permasalahan ini, jangan kamu hampiri zina. Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya? Dek kerana kurangnya fahaman, atau degilnya untuk memahami hukum tuhan, Bayi yang tidak berdosa ditemui mati di timbunan sampah. Dahlah dibuang, perut terburai dimakan anjing liar pula. Sudahlah berzina, amat jijik pula kezaliman terhadap bayi yang tidak tahu apa-apa,"

Ada penekanan suara disitu. Intonasi suara juga menggambarkan betapa emosi sedang menguasai keadaan. Penceramah menunduk, ada air panas mengalir dari tubir mata.

Dari kejauhan, ada hati sedang merasa sakit. Dalam keramaian, ada satu hati sedang menerima nur tuhan. Ketika keriuhan malam-malam Ramadhan, malam ini menyaksikan air mata gugur menangisi kesilapan.

---

"Enta, minggu depan bolehlah kami jemput enta lagi ye?"

Umar tersenyum sambil berjalan ke arah tempat motornya diletakkan. "Insyallah kalau tidak ada aral melintang,"

Ada satu wajah menarik perhatian Umar. Seseorang berselendang sedang berjalan pulang dan Umar kenal dia siapa, sekurang-kurangnya pada nama.

"Hannah?" Umar berbisik perlahan dan serentak itu manusia berselendang mengangkat kepala memandang ke arah Umar, bagai terdetik dia sedang dipanggil.

Umar melarikan anak mata. Ada sesuatu. Sesuatu sukar diramalkan.

Bersambung.

Wednesday, September 9, 2009

Tanya Ustaz [1]

No comments:
PERSOALAN 1 :

Q- Ustaz, apakah hukum mendapatkan suntikan ubat pada siang hari di bulan Ramadhan samada suntikan pemakanan atau atas tujuan perubatan?

A- Seseorang yang berpuasa diizinkan mengambil suntikan samada melalui tusukan urat (IV) atau otot pada siang hari di Ramadhan. Namun begitu, dia tidak boleh diberikan suntikan yang berbentuk pemakanan melalui urat atau lain-lain di bulan ini kerana termasuk di bawah hokum makan dan minum. Mendapatkan suntikan sebegini dianggap sebagai satu helah untuk membatalkan puasa. Kalau boleh, cuba dapatkannya pada waktu malam. ( Fatwa al- Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-Ilmiyah wa al-Ifta’, jilid 10 ms:252)



PERSOALAN 2 :

Q- Perlukah saya membuka pendakap gigi mudah alih semasa berpuasa? Jika saya bercakap ketika pendakap tersebut berada di dalam mulut, ia akan mengeluarkan air liur yang banyak dan saya tidak dapat elak daaripada menelannya. Mohon berikan pendapat.

A- Anda tidak perlu membuka pendakap itu ketika berpuasa kerana tidak ada sesuatu yang memasuki perut kamu kerana itu. Walaupun ia menghasilkan air liur yang banyak, puasa kamu tidak batal.

Para ulama menyatakan bahawa diizinkan memasukkan sekeping dirham (duit syiling) ke dalam mulut sewaktu berpuasa. Dengan ini, tentulah meletakkan pendakap gigi ke dalam mulut lebih diizinkan kerana ia satu keperluan bagi orang yang memakainya.



PERSOALAN 3 :

Q- Adakah dengan mengambil sedikit contoh darah memberi kesan ke atas puasa?

A- kadar darah yang diambil berdasarkan jumlah yang disebutkan di atas tidak menjejaskan puasa kerana ia sedikit dan tidak menyebabkan tubuh seseorang menjadi lemah.

Syeikh Ibn Baz r.h telah ditanya tentang seseorang yang diambil darahnya dalam bulan Ramadhan untuk diuji, beliau menjawab: “ujian dalam bentuk ini tidak memberi kesan kepada puasa. Ia dimaafkan kerana pengambilan itu merupakan perkara yang penting dan bukan merupakan perkara yang boleh membatalkan puasa mengikut syariat.” (Majmu’ Fatwa, oleh Ibn Baz, jilid: 15, ms:274)

Syeikh Ibn ‘Uthaimin r.h telah ditanya tentang seseorang yang menjalani ujian darah ketika berpuasa. Beliau menjawab, “puasanya tidak terbatal kerana jumlahnya kecil dan ia tidak menjejaskan tubuh seperti yang terjadi akibat berbekam.” ( Fatwa Arkan al-Islam. ms: 478)
Mengikut kaedah syarak, puasa kekal sah selagi ia tidak dijejaskan oleh perkara-perkara yang dibuktikan oleh syarak menjadi penyebab kepada terbatalnya puasa. Dalam kes ini, tidak ada bukti bahawa puasa itu terbatal kerana jumlah yang diambil hanya sedikit.
p/s: Anda ada persoalan dan ingin di bantu? Emelkan kepada kami di rakanmasjidusmkk@yahoo.com untuk bantuan.

Tuesday, September 8, 2009

Kenapa Senyum?

No comments:
Assalamualaikum wbt.

Ada apa ye dengan senyum? Secara peribadi, saya suka tengok orang senyum. Banyak manfaat daripada senyum. Baik untuk kita sendiri, mahu pun untuk orang yang melihat orang lain tersenyum.

Ada orang yang harinya berjalan dengan baik. Dari bangun tidur sehingga malam nak pejam mata semula. Sahihlah dia tersenyum sepanjang hari. Nak tidur pun bahagia. Boleh tidur dengan senyuman tanpa ragu-ragu. Tu senyum orang bahagia sebab hari dia baik. Takde apa-apa sepanjang hari yang merisaukan dan menjejaskan dia.

Tapi ada orang yang harinya kurang baik. Kalau kena atas kita sendiri pun, kuranglah rasa seronoknya. Ada je benda yang tak kena. Dalam ada yang tak kena sepanjang hari, tiba-tiba ada orang senyum. Ni bahagian senyum yang memanfaatkan orang lain.

Orang yang tersenyum nampak positif. Ceritanya mudah. Secara semula jadi, waktu tengah bersedih dan bersusah hati, muka kita pun semacam. Waktu bahagia dan gembira, mudah je nampak gigi berbaris. Ye tak. Tapi, tak semestinya orang yang tersenyum tak pernah ada masalah. Mungkin senyuman yang tutup rasa susah hatinya.


Waktu senang hati mungkin sebab perut kenyang. Kalau marah-marah, mungkin sebab perut lapar. A hungry man is an angry man. Hehe. Bulan puasa ni kena tahanlah sikit. Ambil berkat bulan mulia. Banyak pahala orang yang bersabar. Kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi, Ramadhan berkualiti. Insha Allah.

Kenapa senyum? Sini ada jawapannya. Tapi awas. Janganlah senyum disalah guna pula ye. Mulakan hari kita dengan senyuman ;)

^___^

Qiamullail Perdana

No comments:
QIAMULLAIL PERDANA
memburu Lailatulqadr
Tarikh : 10 -11 September 2009 (Khamis)
Masa : 6.00 ptg - 7.30 pg
Tempat : Masjid Murni USMKK
• Ceramah “Memburu Lailatulqadar” oleh Ustaz Saibon
• Qiamullail dan Kuliah Subuh bersama Ustaz Zawawi Mat Nor
• Buka puasa dan sahur disediakan
• Tayangan video
• Gempur Subuh

Mari bersama - sama menyertainya!!!
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.Suratul Qadr, ayat 1-3.

Monday, September 7, 2009

Mari Terlibat!

4 comments:
Assalamualaikum WBT.
Apa khabar diri dan apa khabar Ramadhan?

Bersempena dengan Ramadhan Kareem, Insyallah Rakan Masjid akan memperbaharui corak setiap up-date untuk setiap hari. Dan sejajar dengan itu, RM masjid tidak mahu sendirian dalam merealisasikan perubahan ini.

Rasa kosong dan rasa perlukan seseorang/ sesuatu untuk menasihati? Atau anda memerlukan sesuatu santapan rohani untuk dibaca? Singgahlah ke sini untuk setiap Isnin dan Jumaat. Dengan ekslusifnya RM insyallah menyediakan artikel-artikel dalam menaikkan semangat, memberi pengajaran, menyiapkan juadah ilmu dengan meneliti bait bait ayat di sini.

Teruskan bersama kami Isnin dan Jumaat untuk Tazkirah Anda.

Fitrahnya manusia untuk bercerita dan mendengar cerita. Mungkin RM tidak mampu menyediakan sesi bicara secara audio, namun, apa kata anda singgah ke sini pada setiap Selasa untuk membaca celoteh-celoteh lucu dan sudah tentunya membina kesedaran.

Ya, sila klik ke RM untuk bersama kami dalam sesi Celoteh.

Haih! Rasa terbeban dengan persoalan tak terjawab? Mahu bertanya tetapi tidak tahu pada siapa? Mahu juga jawapan diterima untuk dikongsikan. Uh-huh, anda berada pada website yang betul. Insyallah persoalan anda akan terjawab setiap hari Rabu dalam entry 'Tanya Ustaz' di sini.

Apa yang perlu anda lakukan?
Hanya emelkan persoalan anda kepada kami. Seseorang akan membantu anda dari sini.

Terus berhibur dengan karya kami, 'Karya Editor' dari meja pengarang setiap Ahad dan Khamis.

Dan yang paling penting, anda punya banyak idea atau kreatif dalam bidang penulisan? Anda mahu kongsikan bersama sajak, cerpen, pantun atau apa sahaja karya kreatif anda? Di sini tempatnya.

Hantarkan kepada kami dan Insyallah kami akan muatkan setiap Sabtu pada slot 'Tinta Pembaca'. Bersama berkongsi anugerah mengarang anda.

Secara ringkas;

Jumaat : Tazkirah Anda
Sabtu : Tinta Pembaca
Ahad : Karya Editor
Isnin : Tazkirah Anda
Selasa : Celoteh
Rabu : Tanya Ustaz
Khamis : Karya Editor


*Setiap aktiviti dari anjuran RM akan diterbitkan bila-bila masa.

Untuk memudahkan pihak kami, sila hantarkan kiriman anda ke rakanmasjidusmkk@yahoo.com dengan meletakkan samada;

[Tinta Pembaca] atau [Tanya Ustaz], sebelum tajuk soalan atau karya anda untuk menyenangkan proses penyaringan kami. Anda juga boleh menghantar cadangan, komen, teguran terus ke kotak emel kami untuk tindakan selanjutnya.

Sebagai contoh,
[Tinta Pembaca]: Surah Terakhir

Bersama memartabatkan Islam dari pelbagai sudut!

Sunday, September 6, 2009

Umar [6]

No comments:

Kisah Umar terserempak Hannah menjadi perbualan untuk seminggu kebelakangan ini. Pelbagai cerita dengan versi berbeza timbul menjadi buah mulut pelajar kampus terutamanya mereka yang sealiran dengan Umar. Sealiran dengan Umar bermakna sealiran jugalah dengan Hannah.

Bezanya seorang senior dan seorang lagi junior. Bezanya lagi, seorang lelaki dan seorang perempuan. Bezanya juga, seorang molek perwatakannya dan seorang lagi amat berbeza. Dek kerana perbezaan ketara ini, rencah cerita makin di tambah hebat.

Umar hanya mendiamkan diri.

Hannah hanya mencerlung duka. Malu. Malu pada keadaan. Malu pada tindakan.
Entah bagaimana perlu dibetulkan.
Entah bagaimana hendak dielokkan semula.

---

"Tinggalkan Aiman kat rumah saya. Saya uruskan dia sampai sedar. Cuma saya minta tolong awak informkan pada Aiman. Saya takut bila dia terbangun lagi, entah bahagian mana dia nak tumbuk saya pula,"

Hannah menunduk. Serba salah makin sebu di dalam hati.

"OK. Nanti saya mesej dan... saya telefon. Motor awak?"
"Motor saya tak apa. Ni nak balik mana?"

"Kolej 12,"

Umar menarik nafas panjang. Hendak ditinggalkan, keseorangan pula perempuan di depannya pulang. Bersama pemandu teksi berduaan dengan dunia yang makin gila. Umar meraup muka.

"Saya temankan awak naik teksi. Boleh saya ambil motor sekali,"

Setelah selesai selesai membaringkan Aiman atas katil Umar ditemani kerutan seribu dari muka Azrul. Azrul tidak silap untuk menghadiahkan kerutan penuh tanya itu.

"Nanti aku cerita," Umar membisik disambung dengan anggukan perlahan Azrul.

Dalam kereta Hannah di belakang hanya membatu. Sesekali Umar menjeling dari cermin pandang belakang. Teksi membelok laju ke perkarangan kolej 12. Hannah turun perlahan. Dia keluarkan not RM100 cepat.

"Encik simpanlah baki. Awak, saya rasa cukup untuk awak ambil motor juga. Saya dah mesej Aiman. Awak, saya minta maaf,"

Suara Hannah perlahan tapi masih mampu didengar Umar. Umar yang hanya menunduk, mengangkat muka.

"Saya Umar, panggil Umar,"
"Hannah,"
"OK,"
"Err.. Umar. Saya tahu ni bunyi gila, tapi saya perlukan nombor telefon awak,"

Umar memandang tajam.

"Bukan! Bukan! Jangan salah faham. Saya, saya, saya..."
"Insyallah tak ada apa yang nak dirisaukan,"

Umar tersenyum. Teksi berlalu pergi. Meninggalkan Hannah dengan amarahnya yang biasa senang terlahir dengan kali ini, terkubur begitu sahaja.

---

5 pagi. Sayup-sayup ayat Al-Quran bergema dari masjid berhampiran tanda waktu sesuai untuk bersahur.

"Aiman, bangun. Sahur," Suara Umar lembut mengejutkan tetamu tanpa diundang itu. Perlahan suaranya.
"Damn shit! Where I am?"

"Saya Umar. Awak mabuk semalam. Saya bawa pulang,"

Muka Umar menyirap merah kerana terpaksa menggunakan perkataan 'mabuk'.

"Saya rasa kawan awak, Hannah ada mesej,"
"Crap!! Argh! Who's Hannah. Oh ya! That girl. That pony tail girl. Geez,"

Pantas Aiman meraba telefon bimbit sambil sesekali mengetuk kepalanya. Umar berkira-kira pengaruh alkohol sudah semakin kurang tapi impaknya, kepala pening.

"Umar?"
"Ya. Saya,"
"Aiman,"

"Saya tahu, Hannah bagitahu,"

Umar mengajak Aiman bersahur. Sekalipun Aiman seolah bingung, dia tetap bangun. Adam yang sudah faham sepenuhnya cerita yang berlaku, masih tidak dapat mengawal ekspresi mukanya. Meja makan sunyi. Sesekali dentingan pinggan dan gelas mewarnai suasana. Selebihnya, diam.

"Saya minta maaf. Hannah kata saya tumbuk awak. I just.. er.. I just ... can't remember anything,"

Sunyi terganggu. Umar terkejut lantas memandang Aiman. Dia tidak sangka apa yang disangkanya tidak berlaku. Umar beristighfar kerana telah bersangka buruk sebelum mengenal Aiman sepenuhnya. Ya, diri Umar di mata umum mungkin mulia walau ada sesekali orang mencela. Namun itu tidak bermaksud orang selainnya hina.

Tidak, Umar tidak maksudkan hina yang itu. Cuma, persepsi manusia. Begitulah. Dan Umar manusia.

---

Satu emel masuk.

To: mohdumar@yahoo.com
Cc:
Subject: Assalamualaikum.

Assalamualaikum WBT.
Kehadapan Saudara Umar,

Saya Hannah. Saya fikir saudara Umar masih ingat saya. Saya minta maaf kerana sedaya upaya saya mencari alamat emel awak. Saya minta maaf kerana masih menghubungi awak. Saya fikir setelah awak tidak memberikan nombor telefon hari, saya fikir awak tidak mahu dihubungi.

Tapi saya masih tidak sedap hati. Apatah lagi dengan setelah segala cerita tercipta sekarang. Maaf untuk itu juga.

Saya tahu macam-macam yang telah diceritakan sekarang. Tentang awak berfoya-foya malam merdeka. Tentang awak keluar malam bersama lelaki mabuk. Tentang awak menghantar perempuan seksi ke kolej. Tentang awak yang konon berlagak alim walhal sebaliknya tidak. Tentang awak itu, tentang awak ini.

Saya minta maaf. Saya tak tahu perkataan apa yang layak melainkan maaf. Maaf kerana nama awak makin buruk. maaf untuk tumbukan Aiman yang tidak semena-mena. Maaf disebabkan saya, awak mendapat cerita pelbagai versi. Maaf.

Maaf sekali lagi,
Hannah.

---

Umar menekan butang 'reply'.
Tidak lama dia menarik nafas dalam dan menekan 'cancel'.

Biarlah.

Bersambung.

Friday, September 4, 2009

.:: KENYANGKAN PERUT RAKYAT::.

No comments:
Suatu ketika Utbah bin Farqad, gabenor Azerbaijan pada masa pemerintahan Umar Al-Khattab ditawarkan makanan oleh rakyatnya. Suatu kebiasaan yang lazim pada masa itu. Dengan senang hati, gabenor menerimanya, seraya bertanya:

"Apa nama makanan ini?"

"Namanya habish, ia diperbuat daripada minyak sapi dan kurma", jawab salah seorang daripada mereka.

Gabenor segera menjamah makanan itu. sejenak kemudian bibirnya menguntumkan senyuman. "Subhanallah!Betapa manis dan enak makanan ini. Tentu kalau kita kirimkan kepada Amirul Mukminin Umar Al-Khattab di Madinah, dia pasti akan gembira",ujar Utbah. Kemudian dia memerintahkan rakyatnya supaya membuat makanan tersebut lebih enak.

Setelah makanan tersedia, gabenor memerintahkan anak buahnya supaya berangkat ke Madinah dan membawa habish untuk Khalifah Umar Al-Khatab. Dua utusan segera berangkat ke Madinah. Mereka menyerahkan makanan khas Azerbaijan itu kepada Umar Al-Khatab. Umar segera membuka dan merasanya.

"Makanan apa ini?"tanya Umar.

"makanan ini namanya habish. Makanan paling lazat di Azerbaijan", jawab salah seorang utusan.

"Apakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?"tanya Umar lagi.

"Tidak. Tidak semua boleh menikmatinya,"jawab utusan itu gugup.

Wajah Khalifah langsing merah petanda sedang marah. Dia segera memerintahkan kedua-dua utusan itu supaya membawa kembali habish ke negerinya. Kepada gabenornya dia menulis surat,

'..........makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu.'

Kisah yang diabadikan Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam kitab Manaqib Amirul Mukminin ini, memberikan pengajaran yang teramat berharga bagi umat Islam, khususnya para pemimpin. Umar al-Khatab telah memberikan pengajaran yang amat bererti. Pemimpin harus memikirkan rakyat sebelum dirinya sendiri. Dalam kesempatan lain, Umar pernah meyatakan, "Aku orang pertama yang merasa lapar kalau rakyat kelaparan dan orang terakhir yang merasa kenyang kalau mereka kenyang."

Tugas pemimpin adalah seperti pengembala. Hasan al-Basri, seorang ulama zuhud, pernah berkata kepada Khaliah Umar bin Abd Aziz, "Pemimpin yang adil laksana seorang pengembala yang mengasihi haiwan gembalaanya. Dia membawa gembalaannya ke tengah padang rumput yang luas dan subur. Dia menjaganya agar tidak diterkam binatang buas. Dia selalu mengawasinya agar tidak kelaparan dan kehausan."

Thursday, September 3, 2009

Umar [5]

No comments:
"Fadhluminaalahi wak nikmah,Wa maghfiratau warahamah...."



Malam-malam Ramdhan dipenuhi alunan suci alquran, rentak merdu zikir dan setiap malam juga pasti muzik meraikan tarawikh bergema. Bergema ke seluruh pelusuk dunia. Bergema membesarkan tuhan, Allah yang Esa. Bergema hebat membangkitkan semangat menangguk setiap titik rahmah, nikmah dan maghfirah Ramadhan, bulan yang di tunggu semua sahabat Rasul untusan Allah, Muhammad ya Rasulullah.

Alunan Al-Fatihah dari suara milik Umar meruntun makmumnya. Setiap rakaat Umar bawakan dengan nada berlainan silih berganti. Dari dua rakaat, bertukar empat.



"Mulai dari satu Ramadhan tempoh hingga ke hari ini dan Insyallah hingga ke penghujung bulan mulia ini, ada tazkirah akan di selitkan antara rakaat tarawikh. Insyallah, kalau tidak banyak, sikit pun jadilah. Kerana di sisi Allah itu, bukanlah kuantiti amalan yang dipersoalkan, tetapi kualiti dan istiqamah sesuatu ibadat tersebut. Moga kita dalam golongan yang diberkati olehNya,"

Umar menarik nafas dalam, dan sepanjangnya.


"Insyallah, tepat jam 12 malam sebentar lagi, Malaysia dan kita akan menyambut kemerdekaan yang ke 52. Kalau seorang manusia baru lahir sekarang dah pakai tongkat barangkali. Dan mungkin dia akan cakap tak seronok sebab dia sudah tak merdeka untuk berlari sempurna,"

Ada tawa kecil. Ada resah yang besar.


"Maka malam ini, Insyallah tazkirah saya berkisahkan pergaulan lelaki dan perempuan. Mengapa agama yang suci tidak membenarkan apa yang sudah berlaku akhir zaman ini. Lelaki dan perempuan sudah bukan seperti dua jantina berbeza lagi...."
Ya. Hati Umar sakit dengan apa yang dia lihat hari ini. Hati Umar bahkan lebih sakit apabila segala nasihatnya hanya jadi sindiran dan siulan untuk dimalukan. Dia bukan sakit kerana apa yang dia perkatakan. Dia hanya sakit kerana ayat tuhan seolah-olah dimainkan. Umar sakit kerana jauh dalam hati, dia tidak mahu satu nyawa demi satu nyawa dan seterusnya nyawa yang lain membesar dalam rahim seorang yang sepatutnya mulia, ibu. Tapi dicemari dengan ikatan tanpa halal.Dan kemudiannya dihinakan dengan tempat jijik yang tidak layak hatta untuk binatang dijadikan sasaran untuk menutup aib jalinan haram ini. Itu yang Umar sedih. Sedih.
Sesekali Umar menunduk. Banyak kali matanya bergenang. Bercerita tentang ini, Umar jadi emosi.

---

"Umar, enta balik malam ni lalu ikut mana?"
"Ana ingat nak singgah tempat orang sambut merdeka kejap,"
"Buat apa pergi sana?"Soalan Adam, Umar hanya balas dengan senyuman. Dan tergantung.

"Enta tanya kenapa?"

Umar memandang wajah hitam manis di depannya.

"Kalau kelapangan, ana nak belanja minum,"
"Baru dapat gaji ke Adam?"

Keduanya tertawa gamat.

"Ana tak perlu gaji untuk belanja enta, Umar,"


Umar berlalu menuju ke motornya setelah menolak lembut pelawaan Adam. Sesekali dia meruap muka menahan kantuk. Sambil menghadiakan senyuman ingin berlalu, Umar mula meninggalkan perkarangan masjid yang telah dia imamkan untuk dua kali Ramadhan.Ketika melalui lorong gelap antara kedai, Umar terlihat dua orang sedang berjalan dalam kegelapan. Seorang terhuyung-hayang dan seorang lagi memaut lengan. Sambil mengecilkan mata untuk mendapatkan imej yang lebih jelas, lelaki tadi tiba-tiba berlari kearah Umar yang bermotor sambil ketawa gila.

Yang seorang hilang pertimbangan.
Umar kaget.
Yang seorang lagi jua.

Allahuakbar!!!!

Umar mengelak ke tepi. Alhamdulillah. Umar mampu mengawal keadaan dan yang terhuyung hayang pucat terkejut.

"Gila ke???!"


Tergamam. Umar dapat melihat jelas bangsanya sedang mabuk. Umar sedang melihat jelas manusia seagamanya hilang bertimbangan kerana minuman syaitan sudah mendominasikan fikiran. Dan Umar makin tertekan bila dia sedang melihat yang seorang lagi adalah manusia berlainan jantina dengannya. Lebih menyakitkan dengan lelaki mabuk begitu.

"Bodoh! Kau nak langgar aku ke budak alim,"


Umar hanya memandang. Pandangannya beralih arah pada yang perempuan. Akal fikiran Umar mengimbas kembali dnegan cepat memori perihal perempuan di depannya itu. Ya, ada sesuatu. Dan, nah! Gadis yang terbaling bola tepat mengenai hidungnya dan berdarah.Sebagaimana Umar cuba berusaha mengingati, gadis itu juga melakukan yang sama."Bodoh kau ni!"Sepantas kilat, lelaki mabuk menumbuk Umar. Tepat pada hidung. Impak dari hilang pertimbangan menghadiahkan Umar untuk terlontar ke belakang. Cecair panas mengalir laju. Merah. Darah.

---

Hannah tergamam. Tergamam pada dua keadaan. Tergamam kerana tumbukan padu Aiman, lelaki kacak yang baru dia kenali tadi. Dan tergamam kerana lelaki di depannya itu adalah lelaki yang sama dia cederakan tempoh hari.Hannah berlari pantas.

"Awak OK?"

Hanna cuba membantu. Dia mengoyakkan lengan bajunya untuk menyapu hidung lelaki didepannya yang berdarah. Hannah kalut. Hannah takut, itu perasaan lebih layak untuk ditafsirkan.Lelaki di depannya menunduk. Lelaki depannya cuba mengimbang badan untuk sekurang-kurang boleh berdiri dengan sempurna. Ketika tangan Hannah cuba menahan aliran darah, lelaki di depannya barangkali sudah boleh melihat hampir sempurna manusia di depannya.

"Jangan!!!!"

Lelaki didepannya menepis lagi tangannya. Seperti tempoh hari cuma kali ini lebih kuat. Hannah hanya mampu diam. Hannah tidak mampu untuk marah seperti selalunya. Hannah ketakutan.

"Saya cuma nak tolong,"
"Tak apa. Awak keluar dengan siapa tu?"
"Aiman. Kawan saya,"
"Kawan?"
"Kawan... baru kenal tadi,"

Lelaki didepannya merenung tajam menambahkan darjah untuk takut. Tiba-tiba dia takut untuk kedua-dua lelaki didepannya. Hannah memandang Aiman yang membebel tanpa butir bicara yang jelas.

"You! Jom balik," Aiman mengarah tinggi dan kemudiannya tidak semena-mena dia muntah. Dan pengsan, barangkali sebab mabuk.

Hannah pucat.

"Pergi cari teksi. Tak elok kalau saya pergi cari dan awak dekat sini berdua. Saya jagakan Aiman dekat sini sementara awak cari teksi,"

Mengangguk.

"Kita nak buat macam mana? I er... saya tak tahu dia tinggal kat mana," Hannah bersuara perlahan. Ada getar di situ.

"Kita bawa balik rumah saya. Yang penting cari teksi sekarang,"

Mengangguk semula dan berlalu. Pun begitu, Hannah sempat menjeling lelaki berjubah putih dihadapannya. Siapa dia?

Siapa dia tanpa marah meski ditumbuk percuma?
Siapa dia tanpa tinggi suara meski ditempelak gila?
Siapa dia masih sedia membantu meski dicerca hina?

Siapa dia?

Bersambung.

Tuesday, September 1, 2009

Umar [4]

No comments:
Hujan petang ini terus menggila. Dalam keriuhan bunyi titsan hujan, Umar termenung jauh. Termenung tentang sesuatu yang belum pasti. Termenung kalau-kalau esok hari mungkin bukan lagi miliknya. Dalam satu hari ada ketikanya dia akan tidak berupaya. Tidak berupaya pada dua keadaan memaksa dan selalunya Umar tinggalkan untuk dijadikan rahsia.

Ada mata memandang dari kejauhan. Berdiri 45 darjah di belakang lelaki berkulit cerah yang termenung tenang itu. Meneliti dari susuk tubuk tinggi dan kurus dari belakang. Meneliti jauh dari sudut hati satu pertemuan yang berakhir dengan kekaguman. Dari wajah lonjong dan sedikit cengkung milik Umar, ada satu jiwa sukar ditafsirkan. Namun dia senang, senang berdampingan dengan lelaki murah senyuman ini.

Dentuman petir mengejutkan khayalan Umar, mematikan lamunan Azrul. Bayangan Azrul yang jatuh pada cermin lutcahaya menarik perhatian Umar. Lantas tersenyum.

"Dah berapa lama kau sekodeng aku ni?"

Tawa dua sahabat pecah menghiasi petang dalam ribut itu.

"Azrul, esok Ramadhan,"

Muka Azrul berubah ceria. Meski tiada baris ayat terkeluar, dari senyuman dengan susunan gigi unik Azrul itu, semua orang akan jelas tentang perasaannya. Seketika kemudian air wajahnya berubah.

Umar tertanya.

"Azrul?"
"Mmm?"
"Kenapa?"
"Lebat ni. Nak tarawikh ni, susah kalau pergi dengan si kapcai,"

Satu senyuman terukir. Semua orang pun tahu tarawikh bukan wajib, pun begitu keistimewaan tarawikh dalam bulan yang mulia ini sudah seolah tradisi menjadi kemestian. Umar senyum dan terus tersenyum. Pernah Azrul tertanya kenapa Umar sangat suka mengukirkan gerak laku tanpa verbal yang menyenangkan itu. Umar tetap begitu, masih terus dengan senyumannya.

"Senyuman melambangkan hati yang senang didekati, dan senang didekati satu kemestian jika ingin menyampaikan sesuatu. Bukan semua penerimaan dalam agama Allah ini boleh menjadi mudah, Azrul,"

Mengangguk. Tanda faham biarpun tiada penerangan lanjut.

Sekali lagi petir menghadiahkan refleks kejutan pada dua sahabat ini.

"Tak apalah, kalau lebat sangat, rumah ni boleh jadi masjid. Kan?" Tenang Umar memandang tepat anak mata sahabatnya. Azrul pula menghadiahkan sesuatu bernada sarkastik.

"Kalau macam tu baguslah,"
"Apa yang bagus,"
"Ada imam percumalah malam ni,"
"Kalau macam tu ada chef sahur dan berbuka percuma jugalah bilik ni,"

Azrul tergamam!

"Mana aci!"

Umar bingkas bangun sambil ketawa ke dalam bilik tidak mahu mendengar alasan seterusnya. Azrul kembali tersenyum sendiri.

Umar yang mudah bergurau. Umar yang argh.. segala yang positif.

---

"Umar! Telefon!"

Deringan selawat nabi mendayu-dayu dari telefon bimbit Umar terus berbunyi meminta diangkat. Terus berbunyi seolah bergandingan sama dengan bunyi curahan lebat hujan yang jatuh pada bumbung rumah sebelum mengalir jauh ke dalam bumi melengkapkan kitaran alam.

"Assalamalaikum,"
"Waalaikumussalam. Ana ni Umar, Adam. Enta sibuk ke,"
"Eh tak adalah. Tengah mengemas sikit. Hujan lebat ni, maaflah kalau enta tak berapa jelas nak dengar suara ana,"
"Alhamdulillah. OK je ni. Jelas. Akhi, Ramadhan ni enta jadi imam kat mana-mana ke?"

Ketawa kecil.

"Tahun ni ana nak jadi makmum enta sepenuh masa ajalah," Suara Umar melawak jelas.
"Enta, janganlah macam tu," Ada nada merayu dari hujung talian dan terus menyambung,
"Kalau enta tak sibuk, ana nak penuhi permintaan orang kampung ana ni, diorang mintak jemput imam tahun lepas. Tak setiap hari pun tak apa. Ala, macam tahun lepas. Kita ganti-ganti,"

Adam, tahfiz muda lepasan Al-Azhar. Perkenalan singkat ketika majlis ilmu di masjid Akademi Pengajian Islam UM mengeratkan satu lagi ukhwah.

"Insyallahlah Adam. Hari ni hujan. Rasanya kapcai ana tu tak tersampai ke Kampung Baru,"

---

1 Ramadhan 2009,

Satu Ramadhan sampai lagi. Satu Ramadhan yang memberikan aku peluang untuk merasainya lagi. Syukur ya Allah. Syukur pada hadiah nikmat Ramadhan ini meski aku tidak tahu bila akan ditarik semula....

Umar
0534 petang.

Allah Lebih Tahu

No comments:
Assalamualaikum wbt.

Apa khabar Ramadhan kalian? Apa khabar Ramadhan kita? Sedar tak sedar, hari ni dah masuk hari kesebelas umat Islam berpuasa. Tak kira pelusuk dunia mana pun kita berada. Dah masuk fasa kedua Ramadhan pun. Fasa pertama dah lepas.

Sebut hari Jumaat, kita tahu dia penghulu segala hari. Bila sebut bulan Ramadhan, kita tahu dia penghulu segala bulan. Kita pun tahu juga, bulan Ramadhan banyak kelebihannya. Bulan Ramadhan juga Al-Qur'an diturunkan. Dalam Ramadhan juga, ada Lailatul Qadar. Beribadat dalam bulan Ramadhan, pahalanya berlipat kali ganda.

Bila masuk bab melipat gandakan pahala, kena seiringlah dengan usaha. Ye tak? Tak mudah kot nak ubah benda kebiasaan dan yang dah jadi rutin hari-hari. Macam nak kejut adik yang kecil bangun untuk bersahur. Jenuh. Dah rutin dia hari-hari bangun waktu azan Subuh. Tiba Ramadhan, kena bangun sejam awal. Lepas sahur, dah kena bersiap-siap nak ke sekolah. Bagi dia yang baru nak biasakan diri, seksa agaknya. Dah lah tidur terpendek, kena pula bangun awal. Tapi bila tiba hari raya, dialah paling gembira. Tak cukup bunga api, duit raya lagi dapat. Siap dengan pakej hadiah puasa penuh. Gembira tak terkata. Macam kita zaman dahulu. Biar puasa tak terpenuh sehari atau pun pesen puasa penuh tapi tengah hari berbuka kejap lepas tu sambung balik. Tiba raya kita paling seronok, sibuk mengalahkan orang lain. Ibaratnya begitulah.

Dalam perjalanan kehidupan pun, macam-macam kita jumpa. Ujian silih berganti. Biarlah susah mana pun. Orang lain tak tahu, kita simpan diam-diam. Allah tahu. Allah lebih tahu. Bila bercerita kat orang, susah nak jangkakan respon yang kita dapat. Bila orang respon macam kita harapkan, syukurlah. Setidak-tidaknya, kurang bergalau hati. Cuba kalau dapat respon yang tak berapa boleh nak telan. Nak telan, pahit. Tak telan, dah masuk mulut pun. Terkulat-kulat. Belum lagi nak kira dengan respon pedih. Yang nak bangun pun boleh terduduk.

Tapi ada baiknya juga bila dapat macam-macam respon. Kalau lagi semua sama, takde lah variasi. Tiap-tiap hari ke kuliah, jumpa muka semua orang sama. Bila masuk ke klinik dan ke wad, jumpa pesakit pun muka sama. Macam buat kerja sama tiap-tiap hari sepanjang masa. Lama-lama naik jemu gamaknya. Yang bervariasi tu yang mewarnakan kehidupan kita.

Macam belajar juga. Takde yang senang tanpa susah. Kan? Kalaulah semua benda datang bergolek-golek, seronok tak terkata. Nak itu ini, pakai petik jari je. Pling pling, dapat sekelip mata. Takde lah kot. Kalau ada, taklah kita belajar bersusah bersenang. Takde lah juga kita belajar menghargai kehidupan.

video
Allah Knows - Zain Bhikha feat. Dawud Wharnsby Ali

Takpe, Allah ada. Allah sebaik-baik tempat bergantung. Allah Maha Mendengar dan DIA tak pernah penat nak dengar. Bila Allah bagi ujian, maknanya Allah ingat kat kita. Ujian Allah pun datang macam-macam gaya. Sesuai dengan kemampuan kita. Allah tak bagi ujian yang kita tak mampu nak berdepan. Setakat mana kemampuan kita, Allah lebih tahu.

Apabila besar yang dituntut dan mulia yang dicari, maka payah melaluinya, panjang jalannya, dan banyaklah rintangannya.
-Imam Al Ghazali.

Semoga kita terus istiqamah beribadah dalam Ramadhan yang masih berbaki, InshaAllah.

P/s: Ustaz pernah pesan masa sekolah dulu. Aset paling besar bila berdoa dalam bulan Ramadhan. Minta Allah makbulkan doa dan permintaan kita.

^___^