Sunday, September 6, 2009

Umar [6]

No comments:

Kisah Umar terserempak Hannah menjadi perbualan untuk seminggu kebelakangan ini. Pelbagai cerita dengan versi berbeza timbul menjadi buah mulut pelajar kampus terutamanya mereka yang sealiran dengan Umar. Sealiran dengan Umar bermakna sealiran jugalah dengan Hannah.

Bezanya seorang senior dan seorang lagi junior. Bezanya lagi, seorang lelaki dan seorang perempuan. Bezanya juga, seorang molek perwatakannya dan seorang lagi amat berbeza. Dek kerana perbezaan ketara ini, rencah cerita makin di tambah hebat.

Umar hanya mendiamkan diri.

Hannah hanya mencerlung duka. Malu. Malu pada keadaan. Malu pada tindakan.
Entah bagaimana perlu dibetulkan.
Entah bagaimana hendak dielokkan semula.

---

"Tinggalkan Aiman kat rumah saya. Saya uruskan dia sampai sedar. Cuma saya minta tolong awak informkan pada Aiman. Saya takut bila dia terbangun lagi, entah bahagian mana dia nak tumbuk saya pula,"

Hannah menunduk. Serba salah makin sebu di dalam hati.

"OK. Nanti saya mesej dan... saya telefon. Motor awak?"
"Motor saya tak apa. Ni nak balik mana?"

"Kolej 12,"

Umar menarik nafas panjang. Hendak ditinggalkan, keseorangan pula perempuan di depannya pulang. Bersama pemandu teksi berduaan dengan dunia yang makin gila. Umar meraup muka.

"Saya temankan awak naik teksi. Boleh saya ambil motor sekali,"

Setelah selesai selesai membaringkan Aiman atas katil Umar ditemani kerutan seribu dari muka Azrul. Azrul tidak silap untuk menghadiahkan kerutan penuh tanya itu.

"Nanti aku cerita," Umar membisik disambung dengan anggukan perlahan Azrul.

Dalam kereta Hannah di belakang hanya membatu. Sesekali Umar menjeling dari cermin pandang belakang. Teksi membelok laju ke perkarangan kolej 12. Hannah turun perlahan. Dia keluarkan not RM100 cepat.

"Encik simpanlah baki. Awak, saya rasa cukup untuk awak ambil motor juga. Saya dah mesej Aiman. Awak, saya minta maaf,"

Suara Hannah perlahan tapi masih mampu didengar Umar. Umar yang hanya menunduk, mengangkat muka.

"Saya Umar, panggil Umar,"
"Hannah,"
"OK,"
"Err.. Umar. Saya tahu ni bunyi gila, tapi saya perlukan nombor telefon awak,"

Umar memandang tajam.

"Bukan! Bukan! Jangan salah faham. Saya, saya, saya..."
"Insyallah tak ada apa yang nak dirisaukan,"

Umar tersenyum. Teksi berlalu pergi. Meninggalkan Hannah dengan amarahnya yang biasa senang terlahir dengan kali ini, terkubur begitu sahaja.

---

5 pagi. Sayup-sayup ayat Al-Quran bergema dari masjid berhampiran tanda waktu sesuai untuk bersahur.

"Aiman, bangun. Sahur," Suara Umar lembut mengejutkan tetamu tanpa diundang itu. Perlahan suaranya.
"Damn shit! Where I am?"

"Saya Umar. Awak mabuk semalam. Saya bawa pulang,"

Muka Umar menyirap merah kerana terpaksa menggunakan perkataan 'mabuk'.

"Saya rasa kawan awak, Hannah ada mesej,"
"Crap!! Argh! Who's Hannah. Oh ya! That girl. That pony tail girl. Geez,"

Pantas Aiman meraba telefon bimbit sambil sesekali mengetuk kepalanya. Umar berkira-kira pengaruh alkohol sudah semakin kurang tapi impaknya, kepala pening.

"Umar?"
"Ya. Saya,"
"Aiman,"

"Saya tahu, Hannah bagitahu,"

Umar mengajak Aiman bersahur. Sekalipun Aiman seolah bingung, dia tetap bangun. Adam yang sudah faham sepenuhnya cerita yang berlaku, masih tidak dapat mengawal ekspresi mukanya. Meja makan sunyi. Sesekali dentingan pinggan dan gelas mewarnai suasana. Selebihnya, diam.

"Saya minta maaf. Hannah kata saya tumbuk awak. I just.. er.. I just ... can't remember anything,"

Sunyi terganggu. Umar terkejut lantas memandang Aiman. Dia tidak sangka apa yang disangkanya tidak berlaku. Umar beristighfar kerana telah bersangka buruk sebelum mengenal Aiman sepenuhnya. Ya, diri Umar di mata umum mungkin mulia walau ada sesekali orang mencela. Namun itu tidak bermaksud orang selainnya hina.

Tidak, Umar tidak maksudkan hina yang itu. Cuma, persepsi manusia. Begitulah. Dan Umar manusia.

---

Satu emel masuk.

To: mohdumar@yahoo.com
Cc:
Subject: Assalamualaikum.

Assalamualaikum WBT.
Kehadapan Saudara Umar,

Saya Hannah. Saya fikir saudara Umar masih ingat saya. Saya minta maaf kerana sedaya upaya saya mencari alamat emel awak. Saya minta maaf kerana masih menghubungi awak. Saya fikir setelah awak tidak memberikan nombor telefon hari, saya fikir awak tidak mahu dihubungi.

Tapi saya masih tidak sedap hati. Apatah lagi dengan setelah segala cerita tercipta sekarang. Maaf untuk itu juga.

Saya tahu macam-macam yang telah diceritakan sekarang. Tentang awak berfoya-foya malam merdeka. Tentang awak keluar malam bersama lelaki mabuk. Tentang awak menghantar perempuan seksi ke kolej. Tentang awak yang konon berlagak alim walhal sebaliknya tidak. Tentang awak itu, tentang awak ini.

Saya minta maaf. Saya tak tahu perkataan apa yang layak melainkan maaf. Maaf kerana nama awak makin buruk. maaf untuk tumbukan Aiman yang tidak semena-mena. Maaf disebabkan saya, awak mendapat cerita pelbagai versi. Maaf.

Maaf sekali lagi,
Hannah.

---

Umar menekan butang 'reply'.
Tidak lama dia menarik nafas dalam dan menekan 'cancel'.

Biarlah.

Bersambung.

Friday, September 4, 2009

.:: KENYANGKAN PERUT RAKYAT::.

No comments:
Suatu ketika Utbah bin Farqad, gabenor Azerbaijan pada masa pemerintahan Umar Al-Khattab ditawarkan makanan oleh rakyatnya. Suatu kebiasaan yang lazim pada masa itu. Dengan senang hati, gabenor menerimanya, seraya bertanya:

"Apa nama makanan ini?"

"Namanya habish, ia diperbuat daripada minyak sapi dan kurma", jawab salah seorang daripada mereka.

Gabenor segera menjamah makanan itu. sejenak kemudian bibirnya menguntumkan senyuman. "Subhanallah!Betapa manis dan enak makanan ini. Tentu kalau kita kirimkan kepada Amirul Mukminin Umar Al-Khattab di Madinah, dia pasti akan gembira",ujar Utbah. Kemudian dia memerintahkan rakyatnya supaya membuat makanan tersebut lebih enak.

Setelah makanan tersedia, gabenor memerintahkan anak buahnya supaya berangkat ke Madinah dan membawa habish untuk Khalifah Umar Al-Khatab. Dua utusan segera berangkat ke Madinah. Mereka menyerahkan makanan khas Azerbaijan itu kepada Umar Al-Khatab. Umar segera membuka dan merasanya.

"Makanan apa ini?"tanya Umar.

"makanan ini namanya habish. Makanan paling lazat di Azerbaijan", jawab salah seorang utusan.

"Apakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?"tanya Umar lagi.

"Tidak. Tidak semua boleh menikmatinya,"jawab utusan itu gugup.

Wajah Khalifah langsing merah petanda sedang marah. Dia segera memerintahkan kedua-dua utusan itu supaya membawa kembali habish ke negerinya. Kepada gabenornya dia menulis surat,

'..........makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu.'

Kisah yang diabadikan Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam kitab Manaqib Amirul Mukminin ini, memberikan pengajaran yang teramat berharga bagi umat Islam, khususnya para pemimpin. Umar al-Khatab telah memberikan pengajaran yang amat bererti. Pemimpin harus memikirkan rakyat sebelum dirinya sendiri. Dalam kesempatan lain, Umar pernah meyatakan, "Aku orang pertama yang merasa lapar kalau rakyat kelaparan dan orang terakhir yang merasa kenyang kalau mereka kenyang."

Tugas pemimpin adalah seperti pengembala. Hasan al-Basri, seorang ulama zuhud, pernah berkata kepada Khaliah Umar bin Abd Aziz, "Pemimpin yang adil laksana seorang pengembala yang mengasihi haiwan gembalaanya. Dia membawa gembalaannya ke tengah padang rumput yang luas dan subur. Dia menjaganya agar tidak diterkam binatang buas. Dia selalu mengawasinya agar tidak kelaparan dan kehausan."

Thursday, September 3, 2009

Umar [5]

No comments:
"Fadhluminaalahi wak nikmah,Wa maghfiratau warahamah...."



Malam-malam Ramdhan dipenuhi alunan suci alquran, rentak merdu zikir dan setiap malam juga pasti muzik meraikan tarawikh bergema. Bergema ke seluruh pelusuk dunia. Bergema membesarkan tuhan, Allah yang Esa. Bergema hebat membangkitkan semangat menangguk setiap titik rahmah, nikmah dan maghfirah Ramadhan, bulan yang di tunggu semua sahabat Rasul untusan Allah, Muhammad ya Rasulullah.

Alunan Al-Fatihah dari suara milik Umar meruntun makmumnya. Setiap rakaat Umar bawakan dengan nada berlainan silih berganti. Dari dua rakaat, bertukar empat.



"Mulai dari satu Ramadhan tempoh hingga ke hari ini dan Insyallah hingga ke penghujung bulan mulia ini, ada tazkirah akan di selitkan antara rakaat tarawikh. Insyallah, kalau tidak banyak, sikit pun jadilah. Kerana di sisi Allah itu, bukanlah kuantiti amalan yang dipersoalkan, tetapi kualiti dan istiqamah sesuatu ibadat tersebut. Moga kita dalam golongan yang diberkati olehNya,"

Umar menarik nafas dalam, dan sepanjangnya.


"Insyallah, tepat jam 12 malam sebentar lagi, Malaysia dan kita akan menyambut kemerdekaan yang ke 52. Kalau seorang manusia baru lahir sekarang dah pakai tongkat barangkali. Dan mungkin dia akan cakap tak seronok sebab dia sudah tak merdeka untuk berlari sempurna,"

Ada tawa kecil. Ada resah yang besar.


"Maka malam ini, Insyallah tazkirah saya berkisahkan pergaulan lelaki dan perempuan. Mengapa agama yang suci tidak membenarkan apa yang sudah berlaku akhir zaman ini. Lelaki dan perempuan sudah bukan seperti dua jantina berbeza lagi...."
Ya. Hati Umar sakit dengan apa yang dia lihat hari ini. Hati Umar bahkan lebih sakit apabila segala nasihatnya hanya jadi sindiran dan siulan untuk dimalukan. Dia bukan sakit kerana apa yang dia perkatakan. Dia hanya sakit kerana ayat tuhan seolah-olah dimainkan. Umar sakit kerana jauh dalam hati, dia tidak mahu satu nyawa demi satu nyawa dan seterusnya nyawa yang lain membesar dalam rahim seorang yang sepatutnya mulia, ibu. Tapi dicemari dengan ikatan tanpa halal.Dan kemudiannya dihinakan dengan tempat jijik yang tidak layak hatta untuk binatang dijadikan sasaran untuk menutup aib jalinan haram ini. Itu yang Umar sedih. Sedih.
Sesekali Umar menunduk. Banyak kali matanya bergenang. Bercerita tentang ini, Umar jadi emosi.

---

"Umar, enta balik malam ni lalu ikut mana?"
"Ana ingat nak singgah tempat orang sambut merdeka kejap,"
"Buat apa pergi sana?"Soalan Adam, Umar hanya balas dengan senyuman. Dan tergantung.

"Enta tanya kenapa?"

Umar memandang wajah hitam manis di depannya.

"Kalau kelapangan, ana nak belanja minum,"
"Baru dapat gaji ke Adam?"

Keduanya tertawa gamat.

"Ana tak perlu gaji untuk belanja enta, Umar,"


Umar berlalu menuju ke motornya setelah menolak lembut pelawaan Adam. Sesekali dia meruap muka menahan kantuk. Sambil menghadiakan senyuman ingin berlalu, Umar mula meninggalkan perkarangan masjid yang telah dia imamkan untuk dua kali Ramadhan.Ketika melalui lorong gelap antara kedai, Umar terlihat dua orang sedang berjalan dalam kegelapan. Seorang terhuyung-hayang dan seorang lagi memaut lengan. Sambil mengecilkan mata untuk mendapatkan imej yang lebih jelas, lelaki tadi tiba-tiba berlari kearah Umar yang bermotor sambil ketawa gila.

Yang seorang hilang pertimbangan.
Umar kaget.
Yang seorang lagi jua.

Allahuakbar!!!!

Umar mengelak ke tepi. Alhamdulillah. Umar mampu mengawal keadaan dan yang terhuyung hayang pucat terkejut.

"Gila ke???!"


Tergamam. Umar dapat melihat jelas bangsanya sedang mabuk. Umar sedang melihat jelas manusia seagamanya hilang bertimbangan kerana minuman syaitan sudah mendominasikan fikiran. Dan Umar makin tertekan bila dia sedang melihat yang seorang lagi adalah manusia berlainan jantina dengannya. Lebih menyakitkan dengan lelaki mabuk begitu.

"Bodoh! Kau nak langgar aku ke budak alim,"


Umar hanya memandang. Pandangannya beralih arah pada yang perempuan. Akal fikiran Umar mengimbas kembali dnegan cepat memori perihal perempuan di depannya itu. Ya, ada sesuatu. Dan, nah! Gadis yang terbaling bola tepat mengenai hidungnya dan berdarah.Sebagaimana Umar cuba berusaha mengingati, gadis itu juga melakukan yang sama."Bodoh kau ni!"Sepantas kilat, lelaki mabuk menumbuk Umar. Tepat pada hidung. Impak dari hilang pertimbangan menghadiahkan Umar untuk terlontar ke belakang. Cecair panas mengalir laju. Merah. Darah.

---

Hannah tergamam. Tergamam pada dua keadaan. Tergamam kerana tumbukan padu Aiman, lelaki kacak yang baru dia kenali tadi. Dan tergamam kerana lelaki di depannya itu adalah lelaki yang sama dia cederakan tempoh hari.Hannah berlari pantas.

"Awak OK?"

Hanna cuba membantu. Dia mengoyakkan lengan bajunya untuk menyapu hidung lelaki didepannya yang berdarah. Hannah kalut. Hannah takut, itu perasaan lebih layak untuk ditafsirkan.Lelaki di depannya menunduk. Lelaki depannya cuba mengimbang badan untuk sekurang-kurang boleh berdiri dengan sempurna. Ketika tangan Hannah cuba menahan aliran darah, lelaki di depannya barangkali sudah boleh melihat hampir sempurna manusia di depannya.

"Jangan!!!!"

Lelaki didepannya menepis lagi tangannya. Seperti tempoh hari cuma kali ini lebih kuat. Hannah hanya mampu diam. Hannah tidak mampu untuk marah seperti selalunya. Hannah ketakutan.

"Saya cuma nak tolong,"
"Tak apa. Awak keluar dengan siapa tu?"
"Aiman. Kawan saya,"
"Kawan?"
"Kawan... baru kenal tadi,"

Lelaki didepannya merenung tajam menambahkan darjah untuk takut. Tiba-tiba dia takut untuk kedua-dua lelaki didepannya. Hannah memandang Aiman yang membebel tanpa butir bicara yang jelas.

"You! Jom balik," Aiman mengarah tinggi dan kemudiannya tidak semena-mena dia muntah. Dan pengsan, barangkali sebab mabuk.

Hannah pucat.

"Pergi cari teksi. Tak elok kalau saya pergi cari dan awak dekat sini berdua. Saya jagakan Aiman dekat sini sementara awak cari teksi,"

Mengangguk.

"Kita nak buat macam mana? I er... saya tak tahu dia tinggal kat mana," Hannah bersuara perlahan. Ada getar di situ.

"Kita bawa balik rumah saya. Yang penting cari teksi sekarang,"

Mengangguk semula dan berlalu. Pun begitu, Hannah sempat menjeling lelaki berjubah putih dihadapannya. Siapa dia?

Siapa dia tanpa marah meski ditumbuk percuma?
Siapa dia tanpa tinggi suara meski ditempelak gila?
Siapa dia masih sedia membantu meski dicerca hina?

Siapa dia?

Bersambung.

Tuesday, September 1, 2009

Umar [4]

No comments:
Hujan petang ini terus menggila. Dalam keriuhan bunyi titsan hujan, Umar termenung jauh. Termenung tentang sesuatu yang belum pasti. Termenung kalau-kalau esok hari mungkin bukan lagi miliknya. Dalam satu hari ada ketikanya dia akan tidak berupaya. Tidak berupaya pada dua keadaan memaksa dan selalunya Umar tinggalkan untuk dijadikan rahsia.

Ada mata memandang dari kejauhan. Berdiri 45 darjah di belakang lelaki berkulit cerah yang termenung tenang itu. Meneliti dari susuk tubuk tinggi dan kurus dari belakang. Meneliti jauh dari sudut hati satu pertemuan yang berakhir dengan kekaguman. Dari wajah lonjong dan sedikit cengkung milik Umar, ada satu jiwa sukar ditafsirkan. Namun dia senang, senang berdampingan dengan lelaki murah senyuman ini.

Dentuman petir mengejutkan khayalan Umar, mematikan lamunan Azrul. Bayangan Azrul yang jatuh pada cermin lutcahaya menarik perhatian Umar. Lantas tersenyum.

"Dah berapa lama kau sekodeng aku ni?"

Tawa dua sahabat pecah menghiasi petang dalam ribut itu.

"Azrul, esok Ramadhan,"

Muka Azrul berubah ceria. Meski tiada baris ayat terkeluar, dari senyuman dengan susunan gigi unik Azrul itu, semua orang akan jelas tentang perasaannya. Seketika kemudian air wajahnya berubah.

Umar tertanya.

"Azrul?"
"Mmm?"
"Kenapa?"
"Lebat ni. Nak tarawikh ni, susah kalau pergi dengan si kapcai,"

Satu senyuman terukir. Semua orang pun tahu tarawikh bukan wajib, pun begitu keistimewaan tarawikh dalam bulan yang mulia ini sudah seolah tradisi menjadi kemestian. Umar senyum dan terus tersenyum. Pernah Azrul tertanya kenapa Umar sangat suka mengukirkan gerak laku tanpa verbal yang menyenangkan itu. Umar tetap begitu, masih terus dengan senyumannya.

"Senyuman melambangkan hati yang senang didekati, dan senang didekati satu kemestian jika ingin menyampaikan sesuatu. Bukan semua penerimaan dalam agama Allah ini boleh menjadi mudah, Azrul,"

Mengangguk. Tanda faham biarpun tiada penerangan lanjut.

Sekali lagi petir menghadiahkan refleks kejutan pada dua sahabat ini.

"Tak apalah, kalau lebat sangat, rumah ni boleh jadi masjid. Kan?" Tenang Umar memandang tepat anak mata sahabatnya. Azrul pula menghadiahkan sesuatu bernada sarkastik.

"Kalau macam tu baguslah,"
"Apa yang bagus,"
"Ada imam percumalah malam ni,"
"Kalau macam tu ada chef sahur dan berbuka percuma jugalah bilik ni,"

Azrul tergamam!

"Mana aci!"

Umar bingkas bangun sambil ketawa ke dalam bilik tidak mahu mendengar alasan seterusnya. Azrul kembali tersenyum sendiri.

Umar yang mudah bergurau. Umar yang argh.. segala yang positif.

---

"Umar! Telefon!"

Deringan selawat nabi mendayu-dayu dari telefon bimbit Umar terus berbunyi meminta diangkat. Terus berbunyi seolah bergandingan sama dengan bunyi curahan lebat hujan yang jatuh pada bumbung rumah sebelum mengalir jauh ke dalam bumi melengkapkan kitaran alam.

"Assalamalaikum,"
"Waalaikumussalam. Ana ni Umar, Adam. Enta sibuk ke,"
"Eh tak adalah. Tengah mengemas sikit. Hujan lebat ni, maaflah kalau enta tak berapa jelas nak dengar suara ana,"
"Alhamdulillah. OK je ni. Jelas. Akhi, Ramadhan ni enta jadi imam kat mana-mana ke?"

Ketawa kecil.

"Tahun ni ana nak jadi makmum enta sepenuh masa ajalah," Suara Umar melawak jelas.
"Enta, janganlah macam tu," Ada nada merayu dari hujung talian dan terus menyambung,
"Kalau enta tak sibuk, ana nak penuhi permintaan orang kampung ana ni, diorang mintak jemput imam tahun lepas. Tak setiap hari pun tak apa. Ala, macam tahun lepas. Kita ganti-ganti,"

Adam, tahfiz muda lepasan Al-Azhar. Perkenalan singkat ketika majlis ilmu di masjid Akademi Pengajian Islam UM mengeratkan satu lagi ukhwah.

"Insyallahlah Adam. Hari ni hujan. Rasanya kapcai ana tu tak tersampai ke Kampung Baru,"

---

1 Ramadhan 2009,

Satu Ramadhan sampai lagi. Satu Ramadhan yang memberikan aku peluang untuk merasainya lagi. Syukur ya Allah. Syukur pada hadiah nikmat Ramadhan ini meski aku tidak tahu bila akan ditarik semula....

Umar
0534 petang.

Allah Lebih Tahu

No comments:
Assalamualaikum wbt.

Apa khabar Ramadhan kalian? Apa khabar Ramadhan kita? Sedar tak sedar, hari ni dah masuk hari kesebelas umat Islam berpuasa. Tak kira pelusuk dunia mana pun kita berada. Dah masuk fasa kedua Ramadhan pun. Fasa pertama dah lepas.

Sebut hari Jumaat, kita tahu dia penghulu segala hari. Bila sebut bulan Ramadhan, kita tahu dia penghulu segala bulan. Kita pun tahu juga, bulan Ramadhan banyak kelebihannya. Bulan Ramadhan juga Al-Qur'an diturunkan. Dalam Ramadhan juga, ada Lailatul Qadar. Beribadat dalam bulan Ramadhan, pahalanya berlipat kali ganda.

Bila masuk bab melipat gandakan pahala, kena seiringlah dengan usaha. Ye tak? Tak mudah kot nak ubah benda kebiasaan dan yang dah jadi rutin hari-hari. Macam nak kejut adik yang kecil bangun untuk bersahur. Jenuh. Dah rutin dia hari-hari bangun waktu azan Subuh. Tiba Ramadhan, kena bangun sejam awal. Lepas sahur, dah kena bersiap-siap nak ke sekolah. Bagi dia yang baru nak biasakan diri, seksa agaknya. Dah lah tidur terpendek, kena pula bangun awal. Tapi bila tiba hari raya, dialah paling gembira. Tak cukup bunga api, duit raya lagi dapat. Siap dengan pakej hadiah puasa penuh. Gembira tak terkata. Macam kita zaman dahulu. Biar puasa tak terpenuh sehari atau pun pesen puasa penuh tapi tengah hari berbuka kejap lepas tu sambung balik. Tiba raya kita paling seronok, sibuk mengalahkan orang lain. Ibaratnya begitulah.

Dalam perjalanan kehidupan pun, macam-macam kita jumpa. Ujian silih berganti. Biarlah susah mana pun. Orang lain tak tahu, kita simpan diam-diam. Allah tahu. Allah lebih tahu. Bila bercerita kat orang, susah nak jangkakan respon yang kita dapat. Bila orang respon macam kita harapkan, syukurlah. Setidak-tidaknya, kurang bergalau hati. Cuba kalau dapat respon yang tak berapa boleh nak telan. Nak telan, pahit. Tak telan, dah masuk mulut pun. Terkulat-kulat. Belum lagi nak kira dengan respon pedih. Yang nak bangun pun boleh terduduk.

Tapi ada baiknya juga bila dapat macam-macam respon. Kalau lagi semua sama, takde lah variasi. Tiap-tiap hari ke kuliah, jumpa muka semua orang sama. Bila masuk ke klinik dan ke wad, jumpa pesakit pun muka sama. Macam buat kerja sama tiap-tiap hari sepanjang masa. Lama-lama naik jemu gamaknya. Yang bervariasi tu yang mewarnakan kehidupan kita.

Macam belajar juga. Takde yang senang tanpa susah. Kan? Kalaulah semua benda datang bergolek-golek, seronok tak terkata. Nak itu ini, pakai petik jari je. Pling pling, dapat sekelip mata. Takde lah kot. Kalau ada, taklah kita belajar bersusah bersenang. Takde lah juga kita belajar menghargai kehidupan.

Allah Knows - Zain Bhikha feat. Dawud Wharnsby Ali

Takpe, Allah ada. Allah sebaik-baik tempat bergantung. Allah Maha Mendengar dan DIA tak pernah penat nak dengar. Bila Allah bagi ujian, maknanya Allah ingat kat kita. Ujian Allah pun datang macam-macam gaya. Sesuai dengan kemampuan kita. Allah tak bagi ujian yang kita tak mampu nak berdepan. Setakat mana kemampuan kita, Allah lebih tahu.

Apabila besar yang dituntut dan mulia yang dicari, maka payah melaluinya, panjang jalannya, dan banyaklah rintangannya.
-Imam Al Ghazali.

Semoga kita terus istiqamah beribadah dalam Ramadhan yang masih berbaki, InshaAllah.

P/s: Ustaz pernah pesan masa sekolah dulu. Aset paling besar bila berdoa dalam bulan Ramadhan. Minta Allah makbulkan doa dan permintaan kita.

^___^