Tuesday, January 19, 2010

Kisah Solat Subuh Berjemaah ( episod 1)

a) Solat Subuh Berjemaah vs Demonstrasi


Dalam buku Msteri Solat Subuh oleh Dr. Raghib al-Sirjani dinukilkan, “pernah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku, yakni apabila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah solat Jumaat”


Atas dasar apa dia berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.Pada tahun 80-an, sewaktu saya masih menuntut di universiti, terjadi satu tragedy besar dalam dunia Islam. tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Kamal (seingat saya) dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang ‘menjemput’ tentera Rusia menjajah tanah air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan bangun melancarkan demonstrasi.


Saya masih ingat bagaimana ucapan berapi-api daripada para pemimpin pelajar ketika itu telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Brezhnev dan Babrak Kamal telah dibakar. Ucapan yang berpi-api telah disambut oleh jeritan “Allahuakbar! Allahuakbar!” bergegar di padang tempat tunjuk perasaan diadakan.


Rasa-rasanya, kalau dilihat pada semangat yang memuncak bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin (waktu itu belum ada Taliban) bagi melancarkan jihad. Bilangan Islam yang berdemonstrasi saya rasa hampir mencecah ribuan orang.


Keesokan harinya sewaktu solat Subuh di surau kolej kediaman, saya dapati hanya beberapa kerat sahaja pelajar yang datang untuk solat berjemaah. Sangat sedikit, tidak sampai satu saf pun. Ke mana perginya mereka yang bersemangat berapi-api semalam? Tidak ada laungan Allahuakbar lagi sekalipun untuk sekadar bertakbiratulihram. Dan lebih aneh, para pemimpin pelajar yang hebat berpidato itu pun tidak muncul-muncul.

Cuba fikirkan mengapa terjadi demikian? Akan gerunkah musuh Islam kepada umat yang tidak solat Subuh berjemaah ataupun tidak bangun Subuh langsung? Pada hal demonstrasi hakiki yang benar-benar menggerunkan musuh (bedasarkan pengakuan penguasa Yahudi sendiri) ialah solat Subuh berjemaah yang dilakukan majoriti umat Islam.


Tidak salah membakar bendera yang menjzalimi umat Islam, tetapi alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu “membakar” selimut syaitan yang menghalang kita bangun untuk solat Subuh berjemaah? Tidak salah bertempik dan bertakbir bagi menunjukkan kemarahan kita terhadap musuh Islam,tetapi alangkah baiknya jika suara itu digunakan untuk bertakbiratulihram dalam solat Subuh secar berjemaah? Emm, mampukah orang yang ‘liat’ bangun Subuh berjemaah demi cintanya kepada Allah berangkat ke medan jihad untuk memerangi musuh Allah?


(rujukan:Beduk di Ketuk, Imam Global, SOLUSI Edisi 13,ms:34)

PERBEZAAN ANTARA MEREKA YANG BERJAYA DENGAN YANG LAIN BUKANLAH HANYA KERANA KEKURANGAN KEKUATAN ATAU ILMU, TETAPI ANTARANYA KERANA KEKURANGAN KESUNGGUHAN DAN KEMAHUAN...

No comments:

Post a Comment