Tuesday, September 1, 2009

Umar [4]

Hujan petang ini terus menggila. Dalam keriuhan bunyi titsan hujan, Umar termenung jauh. Termenung tentang sesuatu yang belum pasti. Termenung kalau-kalau esok hari mungkin bukan lagi miliknya. Dalam satu hari ada ketikanya dia akan tidak berupaya. Tidak berupaya pada dua keadaan memaksa dan selalunya Umar tinggalkan untuk dijadikan rahsia.

Ada mata memandang dari kejauhan. Berdiri 45 darjah di belakang lelaki berkulit cerah yang termenung tenang itu. Meneliti dari susuk tubuk tinggi dan kurus dari belakang. Meneliti jauh dari sudut hati satu pertemuan yang berakhir dengan kekaguman. Dari wajah lonjong dan sedikit cengkung milik Umar, ada satu jiwa sukar ditafsirkan. Namun dia senang, senang berdampingan dengan lelaki murah senyuman ini.

Dentuman petir mengejutkan khayalan Umar, mematikan lamunan Azrul. Bayangan Azrul yang jatuh pada cermin lutcahaya menarik perhatian Umar. Lantas tersenyum.

"Dah berapa lama kau sekodeng aku ni?"

Tawa dua sahabat pecah menghiasi petang dalam ribut itu.

"Azrul, esok Ramadhan,"

Muka Azrul berubah ceria. Meski tiada baris ayat terkeluar, dari senyuman dengan susunan gigi unik Azrul itu, semua orang akan jelas tentang perasaannya. Seketika kemudian air wajahnya berubah.

Umar tertanya.

"Azrul?"
"Mmm?"
"Kenapa?"
"Lebat ni. Nak tarawikh ni, susah kalau pergi dengan si kapcai,"

Satu senyuman terukir. Semua orang pun tahu tarawikh bukan wajib, pun begitu keistimewaan tarawikh dalam bulan yang mulia ini sudah seolah tradisi menjadi kemestian. Umar senyum dan terus tersenyum. Pernah Azrul tertanya kenapa Umar sangat suka mengukirkan gerak laku tanpa verbal yang menyenangkan itu. Umar tetap begitu, masih terus dengan senyumannya.

"Senyuman melambangkan hati yang senang didekati, dan senang didekati satu kemestian jika ingin menyampaikan sesuatu. Bukan semua penerimaan dalam agama Allah ini boleh menjadi mudah, Azrul,"

Mengangguk. Tanda faham biarpun tiada penerangan lanjut.

Sekali lagi petir menghadiahkan refleks kejutan pada dua sahabat ini.

"Tak apalah, kalau lebat sangat, rumah ni boleh jadi masjid. Kan?" Tenang Umar memandang tepat anak mata sahabatnya. Azrul pula menghadiahkan sesuatu bernada sarkastik.

"Kalau macam tu baguslah,"
"Apa yang bagus,"
"Ada imam percumalah malam ni,"
"Kalau macam tu ada chef sahur dan berbuka percuma jugalah bilik ni,"

Azrul tergamam!

"Mana aci!"

Umar bingkas bangun sambil ketawa ke dalam bilik tidak mahu mendengar alasan seterusnya. Azrul kembali tersenyum sendiri.

Umar yang mudah bergurau. Umar yang argh.. segala yang positif.

---

"Umar! Telefon!"

Deringan selawat nabi mendayu-dayu dari telefon bimbit Umar terus berbunyi meminta diangkat. Terus berbunyi seolah bergandingan sama dengan bunyi curahan lebat hujan yang jatuh pada bumbung rumah sebelum mengalir jauh ke dalam bumi melengkapkan kitaran alam.

"Assalamalaikum,"
"Waalaikumussalam. Ana ni Umar, Adam. Enta sibuk ke,"
"Eh tak adalah. Tengah mengemas sikit. Hujan lebat ni, maaflah kalau enta tak berapa jelas nak dengar suara ana,"
"Alhamdulillah. OK je ni. Jelas. Akhi, Ramadhan ni enta jadi imam kat mana-mana ke?"

Ketawa kecil.

"Tahun ni ana nak jadi makmum enta sepenuh masa ajalah," Suara Umar melawak jelas.
"Enta, janganlah macam tu," Ada nada merayu dari hujung talian dan terus menyambung,
"Kalau enta tak sibuk, ana nak penuhi permintaan orang kampung ana ni, diorang mintak jemput imam tahun lepas. Tak setiap hari pun tak apa. Ala, macam tahun lepas. Kita ganti-ganti,"

Adam, tahfiz muda lepasan Al-Azhar. Perkenalan singkat ketika majlis ilmu di masjid Akademi Pengajian Islam UM mengeratkan satu lagi ukhwah.

"Insyallahlah Adam. Hari ni hujan. Rasanya kapcai ana tu tak tersampai ke Kampung Baru,"

---

1 Ramadhan 2009,

Satu Ramadhan sampai lagi. Satu Ramadhan yang memberikan aku peluang untuk merasainya lagi. Syukur ya Allah. Syukur pada hadiah nikmat Ramadhan ini meski aku tidak tahu bila akan ditarik semula....

Umar
0534 petang.

No comments:

Post a Comment