Thursday, September 10, 2009

Umar [7]

Hari ini, 20 Ramadhan, majlis berbuka puasa besar-besaran di fakulti Akademi Pengajian Islam. Masjid yang serba putih terletak nun jauh di atas bukit, bercahaya cemerlang malam ini. Masjid yang terletak jauh dari keramaian umum menghadiahkan solat yang lebih khusyuk dan tenang bagi sesetangan pihak.

Alhamdulillah. Sambutan Ramadhan kali ini berbeza dari selalunya. Berbeza secara umum kerana keramaiannya. Dan berlainan dari biasa kerana ada satu tetamu mula menjejak kaki ke kawasan yang dia sendiri aturkan sebagai larangan untuk di langkah.

"Eleh, diorang tu bukan bagus sangat pun. Pakai tudung je lebih, mengumpat sama je,"

"Konon pakai kopiah, bercinta bagai nak rak ke hulur ke hilir macam kita juga. Diorang lagi teruk. Konon bercinta atas nama Islam,"

"Kalau dah tutup aurat tu mula nak rasa diri bagus. Semua orang pun salah. Kerja nak cari salah orang je. Apa? Ingat pakai tudung labuh tu dah jadi malaikatlah?"

"Aku tak paham orang-orang baik ni. Tak reti nak nasihat sampai ke hati. Kalau nasihat macam nak suruh esok tu jadi geng diorang. Ingat hati ni macam komputer ke boleh reset, restart main-main je?"

"Kalau bergaduh, masam muka mengumpat berbaldi-baldi juga,"

"At least aku tak pakai tudung je. Benda baik aku buat juga. Masalahnya, kalau aku buat baik, tengok aku macam alien,"

Itu dialog Hannah. Itu dialog biasa untuk Hannah mempertahankan diri. Itu juga dialong biasa dari pemikiran seorang manusia yang sangat meluat dengan orang-orang yang bukan 'seperti dia'. Itu Hannah. Hannah yang punya banyak penilaian tersendiri.

Hari ini.

Hari pertama Hannah melangkah masuk tenpat yang dia arah tidak pada dirinya. Dia tersenyum. Senyuman yang lebih kepada di buat-buat. Kali pertama Hannah merasa makanan berbuka tersangat pahit. Kali pertama Hannah sering berfikir untuk pulang dan terus pulang. Kali pertama Hannah berasa keseorangan pada tempat yang dia rasa sangat asing baginya biarpun masih dalam Universiti yang sama.

"Eh, tengok buat apa? Makanlah. Lepas ni nak tarawikh pula,"

Sapaan dari seorang gadis bertudung litup menyedarkan Hannah dari lamunannya. Senyum yang jelas dari hati terpancar ceria. Hannah hanya tergamam dan hanya senyap. Apa lagi yang dia boleh bicara? Dia tidak biasa.

"Nak saya ambilkan?"
"Aaa.. ermm.. boleh,"
"Sorang ke datang?"
"Emm,"

Sambil tersenyum, gadis itu menyendukkan nasi untuk Hannah. Dia masih kaku sekakunya. Dalam hati Hannah sudah berkira-kira pastinya soalan yang akan timbul, adakah ini kali pertama dia ke mari? Dengan selendang hanya diletakkan di atas kepala, semua memandang sedikit pelik.

Ah! Manusia. Sebarang ketidaksamaan akan menjadi perkara yang besar untuk dinilaikan.

"Kalau seorang diri, jomlah makan sekali. Akak, Nani. Panggil Kak Nani tak apa,"
"Hannah,"
"Sedap nama tu,"

Hannah hanya tunduk dan dalam tunduk itu tiada langsung pertanyaan yang terbit seperti sangkaan awalnya. Dalam tunduk itu Hannah sedar, bukan semua yang baik itu mulia, dan tak semua yang jahat itu hina. Bukan semua yang dalam fikirannya berhipokrasi itu tidak jujur, dan bukan yang seolah menonjolkan untuk menjadi diri sendiri dengan menolak semua hukum insan ini, lebih baik.

Selagi namanya manusia selagi itulah tidak sunyi dari dosa. Bezanya? Bagaimana untuk kembali kearah jalan sepatutnya.

---

Azan Isyak berkumandang jelas. Lebih jelas seakan menampar-nampar gegendang telinga Hannah. Terlalu jelas sehingga Hannah rasakan inilah azan pertama yang hadir dan benar-benar melekat jauh ke dalam hatinya.

---

"Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya berbunyi, sesiapa benci dan enggan menurut sunnahku, antaranya berkahwin, maka dia bukan dari kalanganku,”

Semua diam. Ada dalam kalangan muslimin mengangkat muka memandang penuh persoalan pada yang sedang memulakan ceramah. Barangkali tidak bersetuju dengan tajuk begitu untuk Ramadhan. Barangkali juga tidak.

"Zaman sekarang, pergaulan sudah tersangat bebas sampai tiada penghujungnya. Alhamdulillah, bersempena bulan Ramadhan dan kerana bulan ramadhanlah ramai manusia akan berkunjung ke rumah Allah ini, ana mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama kita saling mengingati dan menegur agar Insyallah, kita semua dalam tarbiah DIA,"

Tarikan nafas sepanjangnya dilepaskan. Permulaan kepada nasihat-nasihat seterusnya.

"Pelbagai kefahaman dari bermacam-macam cara sedang dilakukan untuk memberitahu bahawa pergaulan berlainan jantina adalah tidak salah. Benar. Tidak salah, yang salah cuma caranya. Pergeseran kefahaman seperti dosa masing-masing tanggung, kubur masing-masing jaga, membuatkan masalah ini semakin teruk dan bertambah teruk apabila dosa dan zina sesuatu yang mula dipandang remeh. Sebagaimana Allah berfirman, …dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu perbuatan yang sangat keji dan satu jalan yang sangat buruk, menjelaskan ada sesuatu dan ada kena mengena dengan pergaulan berlainan jantina ini,"

Suasana masih diam bersetuju. Ada beberapa jemaah mengangguk-angguk beberapa kali.

"Pergaulan bebas, berdua-duaan, berpimpin tangan, rapat-merapati dan berhimpit di atas motosikal adalah faktor permulaan yang kuat mendorong ke arah penyimpangan tarikan seksualiti. Sebagai satu agama yang hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi permasalahan ini, jangan kamu hampiri zina. Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya? Dek kerana kurangnya fahaman, atau degilnya untuk memahami hukum tuhan, Bayi yang tidak berdosa ditemui mati di timbunan sampah. Dahlah dibuang, perut terburai dimakan anjing liar pula. Sudahlah berzina, amat jijik pula kezaliman terhadap bayi yang tidak tahu apa-apa,"

Ada penekanan suara disitu. Intonasi suara juga menggambarkan betapa emosi sedang menguasai keadaan. Penceramah menunduk, ada air panas mengalir dari tubir mata.

Dari kejauhan, ada hati sedang merasa sakit. Dalam keramaian, ada satu hati sedang menerima nur tuhan. Ketika keriuhan malam-malam Ramadhan, malam ini menyaksikan air mata gugur menangisi kesilapan.

---

"Enta, minggu depan bolehlah kami jemput enta lagi ye?"

Umar tersenyum sambil berjalan ke arah tempat motornya diletakkan. "Insyallah kalau tidak ada aral melintang,"

Ada satu wajah menarik perhatian Umar. Seseorang berselendang sedang berjalan pulang dan Umar kenal dia siapa, sekurang-kurangnya pada nama.

"Hannah?" Umar berbisik perlahan dan serentak itu manusia berselendang mengangkat kepala memandang ke arah Umar, bagai terdetik dia sedang dipanggil.

Umar melarikan anak mata. Ada sesuatu. Sesuatu sukar diramalkan.

Bersambung.

No comments:

Post a Comment