Sunday, September 6, 2009

Umar [6]

Kisah Umar terserempak Hannah menjadi perbualan untuk seminggu kebelakangan ini. Pelbagai cerita dengan versi berbeza timbul menjadi buah mulut pelajar kampus terutamanya mereka yang sealiran dengan Umar. Sealiran dengan Umar bermakna sealiran jugalah dengan Hannah.

Bezanya seorang senior dan seorang lagi junior. Bezanya lagi, seorang lelaki dan seorang perempuan. Bezanya juga, seorang molek perwatakannya dan seorang lagi amat berbeza. Dek kerana perbezaan ketara ini, rencah cerita makin di tambah hebat.

Umar hanya mendiamkan diri.

Hannah hanya mencerlung duka. Malu. Malu pada keadaan. Malu pada tindakan.
Entah bagaimana perlu dibetulkan.
Entah bagaimana hendak dielokkan semula.

---

"Tinggalkan Aiman kat rumah saya. Saya uruskan dia sampai sedar. Cuma saya minta tolong awak informkan pada Aiman. Saya takut bila dia terbangun lagi, entah bahagian mana dia nak tumbuk saya pula,"

Hannah menunduk. Serba salah makin sebu di dalam hati.

"OK. Nanti saya mesej dan... saya telefon. Motor awak?"
"Motor saya tak apa. Ni nak balik mana?"

"Kolej 12,"

Umar menarik nafas panjang. Hendak ditinggalkan, keseorangan pula perempuan di depannya pulang. Bersama pemandu teksi berduaan dengan dunia yang makin gila. Umar meraup muka.

"Saya temankan awak naik teksi. Boleh saya ambil motor sekali,"

Setelah selesai selesai membaringkan Aiman atas katil Umar ditemani kerutan seribu dari muka Azrul. Azrul tidak silap untuk menghadiahkan kerutan penuh tanya itu.

"Nanti aku cerita," Umar membisik disambung dengan anggukan perlahan Azrul.

Dalam kereta Hannah di belakang hanya membatu. Sesekali Umar menjeling dari cermin pandang belakang. Teksi membelok laju ke perkarangan kolej 12. Hannah turun perlahan. Dia keluarkan not RM100 cepat.

"Encik simpanlah baki. Awak, saya rasa cukup untuk awak ambil motor juga. Saya dah mesej Aiman. Awak, saya minta maaf,"

Suara Hannah perlahan tapi masih mampu didengar Umar. Umar yang hanya menunduk, mengangkat muka.

"Saya Umar, panggil Umar,"
"Hannah,"
"OK,"
"Err.. Umar. Saya tahu ni bunyi gila, tapi saya perlukan nombor telefon awak,"

Umar memandang tajam.

"Bukan! Bukan! Jangan salah faham. Saya, saya, saya..."
"Insyallah tak ada apa yang nak dirisaukan,"

Umar tersenyum. Teksi berlalu pergi. Meninggalkan Hannah dengan amarahnya yang biasa senang terlahir dengan kali ini, terkubur begitu sahaja.

---

5 pagi. Sayup-sayup ayat Al-Quran bergema dari masjid berhampiran tanda waktu sesuai untuk bersahur.

"Aiman, bangun. Sahur," Suara Umar lembut mengejutkan tetamu tanpa diundang itu. Perlahan suaranya.
"Damn shit! Where I am?"

"Saya Umar. Awak mabuk semalam. Saya bawa pulang,"

Muka Umar menyirap merah kerana terpaksa menggunakan perkataan 'mabuk'.

"Saya rasa kawan awak, Hannah ada mesej,"
"Crap!! Argh! Who's Hannah. Oh ya! That girl. That pony tail girl. Geez,"

Pantas Aiman meraba telefon bimbit sambil sesekali mengetuk kepalanya. Umar berkira-kira pengaruh alkohol sudah semakin kurang tapi impaknya, kepala pening.

"Umar?"
"Ya. Saya,"
"Aiman,"

"Saya tahu, Hannah bagitahu,"

Umar mengajak Aiman bersahur. Sekalipun Aiman seolah bingung, dia tetap bangun. Adam yang sudah faham sepenuhnya cerita yang berlaku, masih tidak dapat mengawal ekspresi mukanya. Meja makan sunyi. Sesekali dentingan pinggan dan gelas mewarnai suasana. Selebihnya, diam.

"Saya minta maaf. Hannah kata saya tumbuk awak. I just.. er.. I just ... can't remember anything,"

Sunyi terganggu. Umar terkejut lantas memandang Aiman. Dia tidak sangka apa yang disangkanya tidak berlaku. Umar beristighfar kerana telah bersangka buruk sebelum mengenal Aiman sepenuhnya. Ya, diri Umar di mata umum mungkin mulia walau ada sesekali orang mencela. Namun itu tidak bermaksud orang selainnya hina.

Tidak, Umar tidak maksudkan hina yang itu. Cuma, persepsi manusia. Begitulah. Dan Umar manusia.

---

Satu emel masuk.

To: mohdumar@yahoo.com
Cc:
Subject: Assalamualaikum.

Assalamualaikum WBT.
Kehadapan Saudara Umar,

Saya Hannah. Saya fikir saudara Umar masih ingat saya. Saya minta maaf kerana sedaya upaya saya mencari alamat emel awak. Saya minta maaf kerana masih menghubungi awak. Saya fikir setelah awak tidak memberikan nombor telefon hari, saya fikir awak tidak mahu dihubungi.

Tapi saya masih tidak sedap hati. Apatah lagi dengan setelah segala cerita tercipta sekarang. Maaf untuk itu juga.

Saya tahu macam-macam yang telah diceritakan sekarang. Tentang awak berfoya-foya malam merdeka. Tentang awak keluar malam bersama lelaki mabuk. Tentang awak menghantar perempuan seksi ke kolej. Tentang awak yang konon berlagak alim walhal sebaliknya tidak. Tentang awak itu, tentang awak ini.

Saya minta maaf. Saya tak tahu perkataan apa yang layak melainkan maaf. Maaf kerana nama awak makin buruk. maaf untuk tumbukan Aiman yang tidak semena-mena. Maaf disebabkan saya, awak mendapat cerita pelbagai versi. Maaf.

Maaf sekali lagi,
Hannah.

---

Umar menekan butang 'reply'.
Tidak lama dia menarik nafas dalam dan menekan 'cancel'.

Biarlah.

Bersambung.

No comments:

Post a Comment