Monday, September 14, 2009

Islam

Nukilan saudara Faisal Ramly.
Assalamu’alaikum warahmatulLah,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Tingkatkanlah kesyukuran ke hadrat Illahi dengan setinggi-tingginya sedaya yang kita mampu.Tanda syukur bukan hanya dengan ucapan alhamdulilLah sahaja, bahkan zikir tersebut hanya membawa maksud pujian kepada Allah semata, segala puji hanya bagi Allah. Tanda syukur sepatutnya dimanifestasikan sebagai mengikut segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan Allah mengikut petunjuk al-Qur’an dan as-sunnah. Selawat dan salam kepada junjungan besar Muhammad SAW dan para sahabat, serta tabi’in dan juga golongan yang mengikuti beliau hingga hari qiamat.

Bila bincang bab Islam, umum ketahui serta wajib fahami sebagaimana Islam yang dibawa oleh rasuluLlah dan para sahabat. Islam yang syumul dan melengkapi dari semua sudut. Tidak ada benda dalam dunia ni yang tidak Islam. Bila bincang bab harta, kena ikut Islam. Bila bincang bab jenayah, kena ikut Islam. Bila bincang bab kahwin, juga kena ikut Islam. Ini semua tanda bahawa kita ingat akan Allah.

Zikir ini ada dua, pertama yang selalu kita amalkan setiap hari melalui lisan. Ada yang amal zikir ma’thurat, ada yang amal wirid al-latif. Itu zikir melalui lisan yang kita fahami. Yang lainnya adalah melaui perbuatan kita. Satu analogi, kalau kita tengah bercinta katakan. Orang melayu mahir bab ni, bila mandi tak basah, makan pun tak kenyang, tidur lagi la tak lena. Itu semua tanda bahawa kita ingat sentiasa pada kekasih kita. Sama juga pada bab zikir pada Allah pada menyatakannya melalui perbuatan. Kita berjual beli, jangan ambil riba’. Kita bermesyuarat sentiasa jaga pergaulan antara jantina. Kita bercakap jangan menyakiti hati orang. Itu semua sebenarnya tanda bahawa kita ingat akan Allah. Jangan rigid kan pemahaman kita tentang zikir mesti dalam surau sahaja. Kerana itu kita katakan “ Islam is the way of Life ”. Meaning our life was fully applied towards the Islamic way.

Tak boleh kita katakan Islam terasing dari sesuatu perkara. Sebentar tadi kita fahami bahawa hidup kita hanya untuk beramal dengan cara Islam. Macammana pula sekarang kita kata ada urusan yang tak berkaitan dengan hidup kita? Bila bincang bab kehidupan saja, mesti dengan ISLAM. Bila konsep ini kita fahami dengan sebenar-benarnya, baru kita kenal dengan salah satu ciri Islam itu yang dinamakan syumuliah atau menyeluruh.

Syumuliah, bermakna merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah aktiviti kita dari pagi lagi, bangun tidur, mandi, pakai baju, pergi kuliah, pergi makmal, berbual dengan rakan, makan, pergi tandas, bermesyuarat, semuanya diajar dalam Islam. Bahkan sehingga ke perkara mentadbir dunia pun diajar dalam Islam. Dengan itu, fahamlah kita bahawa melalui aspek sosial, ekonomi, politik juga ada dalam Islam. Jangan PISAH antara mereka. Jangan kata Islam lain, ekonomi lain. Bila buat macam tu, maknanya kita dah tak faham maksud syumuliah yang dibincangkan tadi.

“Fahami Konsep, Kemudian Amal”

waLlahu a’lam.

No comments:

Post a Comment