Wednesday, September 16, 2009

Umar [Akhir]

Sudah masuk bulan Ogos. Perjuangan Umar dan Azrul sudah hampir ke penamatnya. Hanya tinggal beberapa hari sebelum hari bergraduasi. Hati kedua-duanya mula sayu apabila bakal meninggalkan rumah yang didiami bersama sejak dari tahun dua.

Setiap pertemuan, pasti ada perpisahannya dan begitulah sebaliknya. Hukum alam sudah dimetrai begitu. Begitulah keadaanya yang berlaku hari ini. Perancangan manusia belum mampu melawan takdir tuhan.

Satu persatu barangan dimasukkan ke dalam beg. Ada didalam plastik, kotak dan ada dibiarkan begitu. Rumah bujang, tidak ada apa yang mahu dirisaukan sangat. Beberapa barang Umar dan Azrul mengambil keputusan untuk wakafkan. Sesetengah barang, atas dasar ehsan tuan rumah maka di situlah ia dari mula hingga ke akhir.

"Umar, kau betul tak nak aku hantar kau ni. Barang penuh van ni, at least aku boleh tolong kemaskan dekat rumah sewa baru kau nanti,"
"Tak apa. Bukan banyak pun. Cuma jauh je. Kalau dekat dah lama aku ulang alik pinjam kereta Adam,"
"Tak ada alamat ke kau kat sana? Bolehlah aku melawat nanti,"

Suara Azrul jelas berbunyi sayu. Umar memandang tepat pada Azrul. Dia juga yakin hatinya begitu. Timbul rasa bersalah. Namun demi masa depan, biarlah.

"Tak dapat full alamat lagi. Nanti kalau dah dapat, aku bagitahu. Janganlah sedih-sedih. Bukannya aku nak pergi oversea,"

Umar mengekek. Azrul senyum dalam paksa.

---

Umar memerhati jauh ke tengah jalan. Meski tingkap rumah kecil dan hanya berhadapan dengan jalan-jalan batu, Umar mampu menembus pandangan jauh ke ufuk timur. Satu tarikan nafas panjang.

Bagaimana Hannah? Apa khabar dia?

Sepanjang setahun ini, Hannah dapat merasakan gadis itu melarikan diri dari dia. Biarlah. Itu yang sebaiknya dari perkara yang tidak sepatutnya. Umar mengerti dia juga manusia. Umar bahkan yakin, setegar hati lelakinya, ada lemah di situ. Namun biarlah. Biarlah.

Ada sekali Aliya pernah datang berjumpanya. Seorang gadis tidak dikenali menyapa dari belakang ketika Umar keseorangan di kafe. Tanpa segan gadis itu duduk bertentangan dengan Umar dan tanpa sedar juga tidakan refleks Umar terbangun. Hampir dia pucat, hampir juga gadis itu terkejut.

Umar tidak biasa bertentangan begitu dengan bukan muhrimnya.
Aliya pula ralat dengan lelaki yang terlalu menjaga adab.

"Maaf.. maaf. Saya tak tahu awak tak biasa,"
"Tak apa-tak apa. Cik ada apa-apa ke nak jumpa saya? Maaf cakap, saya tak kenal,"
"Memang tak kenal pun. Saya Aliya,"

Umar memandang cuma sesekali dia menunduk. Wajah cerahnya mula merah padam.

"Kawan saya Hannah. Kawan baik saya, dia ada cerita pada saya semuanya. Tentang perasaan dia, tentang rejection awak. Dia dah berubah. Mulanya saya benci. Saya hilang Hannah yang dulu sebab awak. Tapi saya fikir kemudian, ini jalan Hannah pilih. Ini jalan yang baik untuk dia lalui. Sebagai kawan, bukan hak saya membenci. Jika dia mahu berubah baik, saya tidak boleh melarang, Cuma Umar...."

Ayatnya terhenti di situ. Umar memandang penuh tanya.

"Dia berubah bukan kerana awak. Bukan. Umar, awak.."
"Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik,"

Aliya mula merengus marah. Pada dia perlukah manusia dibezakan darjatnya hanya kerana kisah silam?

"Adil ke awak mengata orang lain buruk dan seolah awak malaikat? Umar, buruk hati awak tahu tak Umar?? Dalam Islam pun tak menghina seseorang yang buruk lakunya dulu tahu tak???! Dalam Islam..."
"Saya ada kelas. Maaf. Assalamualaikum,"

Umar berlalu pergi dalam sopan. Meski banyak mata memandang tertarik dengan tingginya suara manusia bernama Aliya itu, Umar masih berjalan tenang. Tiada tanda amarah. Langsung tiada.

"Ya Allah, ketemukan Hannah seseorang untuk membantunya," Umat berbisik perlahan.

Hampir setahun Umar hanya mendiamkan diri. Hampir setahun Umar menafikan perasaannya.

---

Setelah menerima emel Umar lapan bulan, Hannah sangat marah. Dalam amarah dia dipertemukan dengan Hanani. Dalam masa lapan bulan itulah Hannah belajar tentang segala-gala yang dia tak tahu.

Dia belajar tentang dia dan Penciptanya. Dia belajar tentang dia dan solatnya, puasanya, dirinya, amalnya, taqwanya. Dia belajar tentang halam haramnya. Dia belajar tentang banyak perkara termasuk hatinya.

Kini Hannah sedar, Umar tidak salah. Yang salah dia. Disisi wanita itu malu. Namun satu Hannah terkilan. Perlukah dia dibandingkan tentang buruk baiknya dengan lelaki itu. Ah, manusia. Hannah memujuk hati.

"Ya Allah, kurniakan aku hanya lelaki yang terbaik untukku, untuk agamaku, untuk dunia dan akhiratku,"

Linangan air mata aduan memohon ampunan dosa saban pagi.

---

"Mana Umar ni?"

Suasana pagi itu belum lagi bermula ceria. Dewan Tunku Canselor dipenuhi dengan manusia. Dari Tasik UM hingga ke hujung kolej Zaaba. Setiap satunya ralit bergurau-senda, membetulkan jubah menara gading itu, bertepuk tampar ceria kerana sudah tidak bertemu lama.

Namun hati Azrul terusan dihambat runsing. Menyesal pula dia tidak menegah Umar supaya tidak pulang dan terus bermalam bersamanya setelah selesai sesi 'rehearsal' semalam. Kini Umar tidak memunculkan diri. Tersesak dalam trafikkah? Terlajak tidurkah? Kemalangankah? Hati Azrul jadi ngeri.

Saat manis ini tidak akan terasa indahnya tanpa dia dan Umar melalui fasa penamat ijazah diatas pentas megah bersama-sama. Setengah jam lagi Mereka akan dipanggil masuk dan sampai sudah Umar tidak memunculkan diri. Wakil terpaksa di hantar bagi menggantikan tempat Umar. Azrul dihantui runsing dari mula hingga ke akhirnya. Umar belum pernah begini.

"Azrul, tahniah,"

Suara kecil menyapa Azrul dari belakang. Hannah?

"Terima kasih," Azrul senyum dalam kerutan.
"Umar ada? Jangan salah sangka. Saya cuma datang nak ucapkan terima kasih sebelum saya tidak dapat berjumpa dengan dia lagi mungkin untuk selamanya selepas ni,"
"Tak. Tak ada masalah itu. Saya pun tak tahu dia ke mana. Itu masalahnya,"

Hannah terkejut.

"Tak datang?"
"Abang Azrul!!!"

Serentak Azrul dan Hannah berpaling pada junior yang berlari merapati mereka.

"Abang Umar suruh bagi ini hari ini pada Kakak Hannah. Dia dah bagi saya dua minggu lepas lagi. Hari-hari dia pesan. Siapa akak Hannah ni bang? Dia kata kalau saya tak kenal dia suruh bagi pada abang,"

Hannah tambah terkejut kerana nama dia disebut. Azrul juga terkejut kerana mengapa Hannah? Bukan dia.

Assalamualaikum WBT,
Dengan izin Allah, alhamdulillah surat ini sampai ke tangan awak.

Hannah,
Saya tidak kisah jika awak membenci setinggi gunung pada saya. Saya layak. Cuma surat ini saya sampaikan hanya untuk membetulkan keadaan. Saya tidak mahu Hannah terus berfikir saya malaikat. Tiada beza antara manusia. Yang membezakan kita, amalan di sisi DIA.

Hannah,
Sejujurnya saya tidak pernah berbual dengan seorang perempuan lebih dari perbualan diskusi pelajaran. Dunia saya hanya bersama Azrul, dan beberapa kawan yang lain serta beberapa persatuan-persatuan yang mencegah pergaulan bebas. Jika Hannah mahu difinisikan sebagai persatuan ekstrim beragama pun tidak apa. Saya tidak ambil hati kerana bukan Hannah seorang yang berfikiran begitu.

Hannah,
Saya sangat bencikan pergaulan bebas. Jadi secara tidak langsung saya harus bertindak. Saya tidak mahu iman saya iman yang lemah yang hanya menegur di dalam hati. Saya hanya manusia biasa. Namun biasa itu bukan tiket untuk saya berdiam diri. Sehingga satu hari saya cedera kerana bola Hannah, saya betul-betul ada komunikasi dengan wanita yang sosial di dalam kampus sendiri. Sebelum ini bukan tiada, cuma kisah saya dan Hannah panjang dan hampir tiada kesudahan.

Hannah,
Kemudian saya terserempak lagi dengan Hannah dan kawan Hannah yang kemabukan. Saya tidak tahu ujian apa yang DIA mahu sampaikan. Saya tumpangkan Aiman di rumah. Saya mengambil risiko bahkan saya berfikiran yang bukan-bukan. Aiman menegur saya baik dan dia bahkan meminta maaf. Saya hampir terduduk memikirkan betapa zalim hati saya mengadili seseorang.

Hannah,
Saya fikir sampai situ sahaja. Namun terserempakkan Hannah di masjid, melihat Hannah bertudung, membaca pengakuan hati dan perasaaan Hannah. Ralat saya bertambah. Betul saya bertanya pada DIA saban malam ujian apa yang Allah mahu saya lalui. Saya rasa Hannah mengerti antara ujian terhebat seorang lelaki, adalah wanita. Saya tidak mahu saya jadi begitu.

Hannah,
Maaf saya berterus terang. Saya tahu Hannah melarikan diri. Saya juga tahu setiap ayat saya terlalu kasar pada Hannah dan juga pada kawan Hannah, Aliya. Tapi saya fikir, itulah yang sebaiknya. Pun begitu Hannah, saya lelaki. Saya juga punya perasaan namun saya tidak mahu itu senjata yang memancung saya semula. Saya bencikan pergaulan ini. Saya BENCI.

Hannah menarik nafas panjang. Azrul hanya memerhati penuh debar ketika Hannah khusyuk mebaca. Hatinya penuh tanya.

Hannah,
Satu hari saya sedar tentang perasaan saya. Dan bila saya sedar, saya tahu saya harus melarikan diri. Mencari tenang di mana saya tidak dihantui sesiapa. Hari ini, biarlah saya membuka segalanya.

Hannah,
Saya tidak tahu asal saya. Saya tidak pernah tahu siapa ibu ayah saya. Saya tidak tahu secara jelas diri saya sendiri. Yang saya tahu, saya dilahirkan dalam rahim wanita yang tidak halal hubungannya. Saya juga tidak pernah bertemu dia.

Hannah,
Saya adalah pesakit HIV positif kerana hubungan ini. Dan kerana itu saya membenci dan mencuba sedaya upaya saya menghalang pergaulan bebas supaya tidak ramai Umar seperti saya lahir kedunia.

Hannah,
Saya mohon maaf atas perasaan ini yang sepatutnya tidak hadir. Saya minta maaf jika mengguriskan hati saudara saya. Bukan Hannah tidak baik, saya yang terlalu hina untuk Hannah. Hannah masih boleh berubah dengan darah suci terus mengalur dalam diri.

Hannah mula menangis. Menangis yang meruntun hati Azrul. Hannah menyambung bacaannya.

Dan jika Hannah selesai baca ini dan rasa Azrul perlu tahu, berikan surat ini padanya. Saya tidak sanggup memberitahu sendiri sahabat dunia akhirat saya. Saya berasa berdosa pada dia. Jika Hannah berikan pada dia, ada kata-kata terakhir dari saya. Jika Hannah tidak rela, saya izinkan Hannah membuat apa sahaja cerita sebagai alasan ketidakhadiran saya

Hannah mengunjukkan surat pada Azrul. Dia sebahagian dari hidup Umar. Dia layak tahu. Tatkala surat baris pertama Azrul baca hingga ke bahagian dia, air mata Arul juga menitis.

Azrul,
Aku tiada kata mahu dicoretkan. Banyak sungguh dosa aku pada kau. Dosa merahsiakan lebih besar.

Kaulah sahabat dunia akhirat aku. Aku mohon maaf tidak hadir. AKu mahu pergi dari kenangan yang menyeksakan. Semua orang tahu tempoh pesakit HIV berapa lama dan bagaimana rupanya.

Azrul,
Satu hari nanti aku harap bertemu kau. Di syurga jika aku masih berpeluang ke sana. Mohon Allah izinkan kita semua ke sana. Dan Hannah dihadapanmu itu, jika tidak keberatan, biarlah dia menjadi sebahagian dari tulang rusukmu.

Titisan air mata Azrul sudah keakhirnya. Hannah masih menunduk.

Azrul mengerti kini kenapa Umar tidak mahu diganggu jika kesakitan.
Hannah memahami kini apa maksud Umar dengan,

"Lelaki yang baik untuk wanita yang baik,"

Terima kasih Umar kerana memberitahu yang benar, Hannah berbisik perlahan. Hannah manusia biasa. Punya takut dan gentar. Sekurang-kurangnya Umar tidak tinggalkan dia dengan tekanan dan tidak biarkan dia terbeban dengan perasaan.

-Tamat-

No comments:

Post a Comment