Friday, September 11, 2009

Mati

Nukilan saudara Faisal Ramly.

Assalamu’alaikum warahmatuLlah…
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Allahu rabbuna, tingkatkan kesyukran kepada Allah atas kurniaan nikmat dan rahmat-Nya, masih lagi bernafas dengan jasad sebagai seorang Muslim yang sedar dan mampu untuk berjuang demi agama-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Muhammad SAW atas jasanya, kita masih lagi mewarisi keharmonian hidup dalam suasana Islam, kepada para sahabat dan juga tabi’in beserta golongan yang mengikuti beliau hingga hari qiamat.

Walaupun berada dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, ana masih lagi suka untuk mengingatkan diri beserta umum berkaitan kematian yang pasti.
Firman Allah:

“Maka apakah kita tidak akan mati?”
(as-Saffat : 58)

Inilah bentuk persoalan yang digazetkan di dalam al-Qur’an bertujuan untuk menarik perhatian kita terhadap kematian. Ayat ini juga sepatutnya berupaya mencetus pemikiran kita terhadap kematian, sesuatu yang pasti berlaku sama ada kita suka atau duka. Jawapannya sudahpun kita ketahui, bahkan Allah berfirman:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada kami kamu dikembalikan.”
(al-ankabut : 57)


Kematian itu akan terjadi walaupun kita masih lagi berada dalam bulan Ramadhan, walaupun kita masih belum bersedia, walaupun kita tak boleh terima akan kehadirannya, seolah-olah merupakan satu bentuk paksaan untuk kita supaya sentiasa bersedia mengahadapinya.

Benar kata imam al-Ghazali kepada anak muridnya. “Apakah benda yang paling dekat dengan kita?”, soalnya. Mereka menjawab “kawan-kawan, ibu bapa”. Biasalah, pandangan murid selalunya singkat, tidak mengambil kira aspek ghaib. Tapi al-Ghazali tidak marah, bahkan menggalakkan. “Semuanya betul, tapi yang paling betul adalah mati”
Sangat bersetuju! Siapa tahu bila kita akan mati? Minggu depan? Lusa? Esok? Sejam lagi? Sekejap lagi?

Kita boleh pilih jalan kita. Hidup ini sentiasa merupakan pilihan. Cumanya, pilihan itu hanya ada dua, syurga atau neraka. Kalau tak nak ikut perangai ahli neraka, kita masuk syurga. Kalau kita benci bahkan hina sifat dan perbuatan ahli syurga, rumahnya di neraka.

Pesan ana, kita sediakan bekal kita sebelum pergi. Pepatah melayu ada menyebut, “sediakan payung sebelum hujan”. Masalah umat hari ini payung pun mereka tak kenal. Kerana itu turun Islam untuk beritahu, bagi kenal kepada ‘payung’ tersebut melalui majlis-majlis ilmu dan juga pergaulan dengan ulama’. Dengan itu, kita mampu mencuri perhatian Allah tandanya kita perlukan hidayah Allah serta taufik-Nya dalam menyelusuri kehidupan ini. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment